Negara masih kekurangan stesen pengecas EV

Lih Kang (kanan) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Agmo dan Alibaba Cloud pada Majlis Pelancaran Aplikasi Agmo Ev SuperApp pada Selasa. - Foto Bernama
Lih Kang (kanan) menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Agmo dan Alibaba Cloud pada Majlis Pelancaran Aplikasi Agmo Ev SuperApp pada Selasa. - Foto Bernama
A
A
A

CYBERJAYA - Malaysia masih kekurangan kemudahan pengecasan kenderaan elektrik (EV), dengan anggaran kini hanya ada 1,000 stesen pengecasan EV dalam negara, angka yang jauh berbanding sasaran 10,000 stesen menjelang 2025, kata Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Chang Lih Kang.

"EV masih baharu kepada pasaran dan negara kita. Ekosistem (EV) belum lengkap, kerana stesen pengecasan tak banyak, jadi pengeluar keberatan untuk masuk pasaran,” katanya kepada pemberita selepas menyaksikan pertukaran memorandum persefahaman antara Alibaba Cloud dan Agmo Holdings Bhd di sini pada Selasa.

Kerjasama antara kedua-dua platform teknologi digital itu bertujuan memudahkan pengguna EV dalam mengenal pasti stesen pengecasan dan kuasa pengecasan bersesuaian, menerusi aplikasi Agmo EV Superapp di Android dan iOS.

Aplikasi berkenaan lengkap dengan sistem integrasi bersepadu, menerusi ciri pembayaran tanpa tunai, kemudahan navigasi dan semakan kadar cas sebelum mengecas EV.

Agmo merupakan pakar penyelesaian digital tempatan dan menawarkan perkhidmatan seperti e-undian berasaskan rantai blok dan transaksi berkaitan e-dagang, manakala Alibaba Cloud adalah penyedia perkhidmatan awam terkemuka di China.

Berdasarkan statistik Agmo, negeri tertinggi mempunyai stesen pengecasan adalah Selangor, diikuti Kuala Lumpur dan Johor.

Lih Kang berkata, kerajaan menerusi Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi sedang giat melaksanakan pelbagai program bagi membangunkan industri EV tempatan, antaranya menerusi kerjasama dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri dan Tenaga Nasional Berhad (TNB). - Bernama