Jakim perlu lakukan pemulihan budaya warga kerja: Mujahid

Mujahid
Mujahid
A
A
A

SHAH ALAM - Bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Seri Mujahid Yusof mencadangkan agar Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) melakukan pemulihan budaya dan cara berfikir warga kerjanya bagi memastikan jabatan itu tidak memberi kesan buruk terhadap institusi Islam di negara ini.

Mujahid berkata, pengurusan tertinggi Jakim juga perlu bertindak menamatkan kontrak warga kerjanya yang dikesan mempunyai idea ekstrim, jumud dan memaparkan imej negatif terhadap Islam bagi menjamin keharmonian agama itu.

"Saya telah berusaha memperkenalkan dasar pentadbiran Ramah Aman Harmoni Mesra Alami dan Hormat (RAHMAH) dalam kalangan warga Jakim tetapi malangnya, kegilaan politik dengki dan khianat telah menamatkan usaha baik ini.

"Semoga ketetapan yang dibuat akan memperkukuhkan pentadbiran Islam di Malaysia dengan hasrat Islam Rahmatan Lil Alamin dapat dipacu lebih giat dengan penstrukturan baharu ini.

"Saya juga yakin Jakim akan tetap berperanan sebagai penyelaras dan pentadbir kepada semangat baharu struktur pentadbiran Islam di negara ini," katanya menerusi hantaran di laman Facebook pada Sabtu.

Dalam pada itu, Mujahid turut menyeru agar Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad memainkan peranannya dalam memastikan pentadbiran Islam di negara ini bebas dan selamat daripada menjadi tunggangan pihak tertentu hingga menjejaskan perpaduan berbagai kaum dan agama.

"Saya turut menyeru supaya Menteri Agama sebagai cabang eksekutif, memahami evolusi dinamika kerangka pentadbiran Islam dan dapat kekalkan semangat bebas politik selain berdedikasi terhadap perundangan, perlembagaan negara.

"Beliau harus bersama hentikan para penunggang agama dari menodai pentadbiran Islam negara.

Artikel Berkaitan:

"Galakan kebencian antara agama perlu dihentikan segera dan penstrukturan baharu ini akan membantu usaha melahirkan Malaysia tanpa kebencian kaum dan agama," katanya.