Belia Melaka paling ramai terjebak dadah

Wan Madihi (tiga,kiri) mendengar penerangan ketika melawat dalam bas bergerak AADK, di Pasaraya Mydin MITC, di Ayer Keroh, di sini, pada Sabtu.
Wan Madihi (tiga,kiri) mendengar penerangan ketika melawat dalam bas bergerak AADK, di Pasaraya Mydin MITC, di Ayer Keroh, di sini, pada Sabtu.
A
A
A

MELAKA - Seramai 2,809 belia Melaka berusia antara 19 hingga 39 tahun adalah golongan tertinggi terlibat dalam penyalahgunaan dadah dalam tempoh Januari hingga September tahun lalu.

Exco Kesihatan dan Antidadah, Dr. Muhamad Akmal Saleh berkata, jumlah itu mewakili 56.2 peratus daripada keseluruhan 5,000 orang yang dikesan terlibat.

"Selain remaja dan belia, golongan kedua tertinggi dikesan terlibat najis dadah merupakan dewasa berusia 40 tahun dengan jumlah seramai 2,140 orang.

"Apa yang menyedihkan penagihan dadah turut dikesan dalam kalangan remaja dan pelajar sekolah berusia 13 hingga 18 tahun dengan jumlah seramai 50 orang," katanya.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Melaka, Wan Madihi Wan Salleh ketika Sambutan Peringatan Hari Antidadah Kebangsaan (HADK) Peringkat Negeri di Pasaraya Mydin MITC, di Ayer Keroh, di sini, pada Sabtu.

Tambah beliau, data AADK menunjukkan pekerja buruh paling ramai terlibat dadah iaitu seramai 500 orang, diikuti pekerja perkhidmatan (171), peniaga (156), pekerja binaan (135) dan 134 pekerja kilang dalam tempoh awal tahun ini.

Sementara itu, Wan Madihi berkata, AADK Melaka mendapati lokasi pesisiran pantai antara kawasan paling tinggi kes penagihan dan pengedaran dadah.

Katanya, sebab itu kawasan seperti Kuala Linggi, Kuala Sungai Baru dan Tanjung Kling dipilih bagi penghijauan 10 Kawasan Berisiko Tinggi (KBT) menjelang tahun 2025.

Artikel Berkaitan:

Ujarnya, usaha itu dapat mencapai sasaran penurunan sebanyak 30 peratus jumlah penyalahgunaan dadah menjelang tahun 2025.

"Tahun ini kita menyasarkan penghijauan KBT di Masjid Tanah bagi membendung masalah dadah seterusnya sasaran Dadah Terkawal 2025 dapat dicapai," katanya.