Melaka mahu perkenal Anugerah Seri Melaka

Ab Rauf (dua dari kanan) ketika mengiringi Fadhlina (tiga dari kanan) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima.
Ab Rauf (dua dari kanan) ketika mengiringi Fadhlina (tiga dari kanan) menyampaikan anugerah kepada salah seorang penerima.
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri akan memperkenalkan Anugerah Seri Melaka bagi menghargai tokoh-tokoh anak negeri ini yang berjaya dan menyumbang khidmat bakti sama ada di peringkat nasional mahupun antarabangsa.

Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh berkata, pemilihan individu penerima anugerah itu berdasarkan dia merupakan anak kelahiran negeri ini yang mendapat pendidikan awal di Melaka sehingga menjadi ikon kebanggaan Melaka seperti berkhidmat dalam perkhidmatan awam profesional, dalam bidang sukan dan juga hiburan.

Menurutnya, ikon tersebut akan dipilih oleh sebuah jawatankuasa di peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) sebelum dinilai oleh sebuah lagi jawatankuasa di peringkat negeri.

"Sekarang mungkin mereka berada dalam persada perkhidmatan awam profesional, ahli perniagaan sukan artis, banyak artis nama-nama besar datang daripada Melaka.

"Kita akan beri kategori anugerah seri Melaka mengikut kategori macam mana Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) buat tadi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang akhbar selepas menyempurnakan majlis Malam Anugerah Hari Guru 2023 yang dihadiri Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek di Pusat Dagangan Antarabangsa Melaka, MITC, Ayer Keroh, di sini pada malam Isnin.

Sementara itu, Fadhlina berkata, telah selesai satu lagi majlis penting dalam menghargai jasa dan pengorbanan guru menerusi pemberian anugerah kepada 28 orang guru sebelum acara kemuncaknya pada Selasa yang akan dirasmikan Perdana Menteri, Datuk seri Anwar Ibrahim.

Menurutnya, yakin dan percaya anugerah ini dapat memberikan lonjakan motivasi kepada penerima dan juga warga guru lain untuk terus mengajar anak-anak dengan berdedikasi.

Katanya berharap pengiktirafan yang diberikan juga dapat memberi semangat baharu kepada semua warga pendidik untuk lebih berusaha dalam melahirkan ramai ilmuwan dan mampu menyumbang kepada masyarakat dan negara.

"Pada malam ini telah selesai satu lagi majlis penting, anugerah guru-guru yang mana pada malam ini kita telah sampaikan 28 anugerah dan esok ada lagi dua anugerah utama.

"Saya merakamkan rasa bangga dan terima kasih kepada kerajaan negeri khususnya yang telah memberikan komitmen daripada awal sehingga kini, dan acara kemuncak bagi melancarkan majlis sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan lada tahun ini," katanya

Majlis anugerah tersebut menyaksikan penyampaian empat kategori anugerah iaitu Anugerah Khas Pendidikan, Anugerah Guru Inovatif, Anugerah Guru Berwibawa dan Anugerah Guru Ikon.

Turut disampaikan Anugerah Khas Menteri Pendidikan: Sekolah Citra Madani dan Anugerah #GuruJuaraDigital.