Wanita hilang selepas hantar ibu jalani rawatan dialisis

Che Ku Noraini Che Ku Mohd Arifin (kanan) memegang salinan laporan polis disamping ibunya, Haminah. (Gambar kecil: Zaizura)
Che Ku Noraini Che Ku Mohd Arifin (kanan) memegang salinan laporan polis disamping ibunya, Haminah. (Gambar kecil: Zaizura)
A
A
A

KEMAMAN - Seorang wanita merayu orang ramai membantu mencari kakaknya yang hilang selepas keluar dari sebuah klinik di bandar Chukai, Selasa lalu.

Che Ku Noraini Che Ku Mohd Arifin, 36 berkata, kali terakhir dia melihat kakaknya, Zaizura Mat Hussin, 44, pada jam 11 pagi 8 Mac lalu selepas sama-sama menghantar ibu mereka, Haminah Latif, 67, mendapatkan rawatan dialisis di klinik berkenaan.

"Selepas membawa ibu ke klinik, saya kembali ke kereta dan tinggalkan kakak bersama ibu.

"Saya ada terima pesanan ringkas daripada kakak melalui WhatsApp meminta saya pulang ke rumah dulu kerana dia mahu keluar," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Sabtu.

Che Ku Noraini yang tinggal di Kampung Padang Lalang, Binjai, di sini berkata, dia kembali ke klinik pada jam 3.30 petang hari sama namun mendapati kakaknya tiada bersama ibunya.

"Saya cuba beberapa kali menghubungi kakak tetapi panggilan tidak berjawab," katanya.

Menurut Che Ku Noraini, dia telah membuat laporan polis berhubung kehilangan kakaknya di Balai Polis Chukai pada Rabu lalu.

"Zaizura merupakan seorang ibu tunggal yang mempunyai empat orang anak berusia 14 hingga 22 tahun yang tinggal di Kampung Gaal, Pasir Putih, Kelantan," katanya.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kakaknya datang ke Terengganu pada September tahun lalu untuk membantu menguruskan ibu yang sakit.

"Saya telah menghubungi keluarga di Besut dan Pasir Putih, Kelantan tetapi tiada siapa yang menemuinya," katanya.

Che Ku Noraini berkata, pakaian terakhir dipakai Zaizura adalah baju kurung hijau gelap dan tudung coklat gelap.

Sesiapa mempunyai maklumat boleh menghubungi Che Ku Noraini di talian 016-5090689 dan Zaihasra Ibrahim (017-9763740) atau mana-mana balai polis berdekatan.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kemaman, Superintendan Hanyan Ramlan ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan berhubung kejadian.

Katanya, kes berkenaan dalam siasatan dan diklasifikasikan sebagai orang hilang.