'Ibu Nakhoda Hidup' capai impian usahawan wanita

Dr Wan Nur (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran Program 'Ibu Nakhoda Hidup 2023' di Mydin USJ, pada Selasa.
Dr Wan Nur (tiga dari kanan) menyempurnakan gimik pelancaran Program 'Ibu Nakhoda Hidup 2023' di Mydin USJ, pada Selasa.
A
A
A

RAMAI usahawan wanita mengimpikan untuk membina empayar perniagaan sendiri namun kebanyakan daripada mereka berdepan halangan disebabkan kekurangan dana.

Menyedari perkara tersebut, Program 'Ibu Nakhoda Hidup' telah dijalankan sejak 2015 bagi merealisasikan impian golongan ibu menjadi usahawan di seluruh negara.

Program tersebut merupakan usaha sama Mydin Mohamed Holdings Berhad (Mydin), Procter & Gamble (P&G) Malaysia dan Pertubuhan Pembangunan Kendiri Wanita dan Gadis (WOMEN:girls).

Pengarah Eksekutif Mydin, Datuk Murad Ali Mydin berkata, Mydin berbesar hati dapat menubuhkan satu rangkaian bagi memperkasa dan mengasah bakat ibu-ibu usahawan ke tahap lebih tinggi melalui program tersebut.

Beliau berkata, ia juga merupakan platform kepada ibu usahawan untuk mengembangkan perniagaan mereka seperti mana yang diimpikan sebelum ini.

“Contohnya, seorang ibu usahawan hanya mampu buat kek sebanyak 20 biji sehari kerana tidak mempunyai oven (ketuhar) yang besar namun mempunyai impian untuk menghasilkan 1,000 kek dalam masa yang sama dan membuka kedai.

“Oleh itu, apa yang kami buat adalah merealisasikan impian mereka dengan membeli peralatan yang diperlukan bagi membolehkan dia pergi ke arah itu,” katanya pada Majlis Pelancaran Program 'Ibu Nakhoda Hidup 2023' di Pasaraya Mydin USJ, Subang Jaya, Selangor pada Selasa.

Turut serta dalam majlis tersebut ialah Ketua Pengarah Jabatan Pembangunan Wanita dan Masyarakat, Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Dr Wan Nur Ibtisam Wan Ismail; Presiden WOMEN:girls, Low Ngai Yuen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Subang Jaya, Michelle Ng Mei Sze.

Sementara itu, Pengarah Komersial P&G Malaysia dan Singapura, Nantha Kumaran Kalimuthu memberitahu, pihaknya menyasarkan kutipan dana melebihi RM100,000 menerusi “Tabung Hulurkan Harapan” bagi menjayakan program itu.

Beliau berkata, ia sekali gus dapat membantu lebih ramai ibu usahawan untuk berjaya dalam perniagaan masing-masing.

“Kita kutip dana, setiap RM10 pembelian barangan P&G di Mydin kita akan sumbangkan sebanyak 5 sen. Dana tersebut akan disalurkan kepada usahawan yang terpilih namun bukan dalam bentuk wang tunai tetapi menyediakan keperluan mereka.

“Pada 2018, kami telah mengumpul lebih RM100,000. Jadi, saya sangat berharap tahun ini jumlahnya lebih banyak berbanding terdahulu, agar lebih ramai usahawan dalam kalangan ibu-ibu dapat dilahirkan,” ujarnya.