Pendekatan baharu tangani miskin tegar diperkenal akhir April ini

Mustapa ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
Mustapa ketika menjawab soalan pada Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri sempena Mesyuarat Pertama Penggal Kelima, Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memperkenalkan pendekatan baharu yang lebih holistik dan komprehensif bagi menangani isu miskin tegar selewat-lewatnya akhir April ini, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi), Datuk Seri Mustapa Mohamed.

Beliau berkata, kerajaan meletakkan komitmen yang amat tinggi untuk menyelesaikan isu berkenaan, justeru pendekatan baharu itu akan mengambil kira segala input daripada pemimpin tempatan selain penduduk setempat.

Menurutnya, di peringkat awal pelaksanaan pendekatan baharu itu, kerajaan akan memilih sebanyak 80 lokaliti di seluruh negara.

"Kalau dulu umpamanya pendekatan kita tidak diselaras, kita work in silo. Kali ini (pendekatan) lebih holistik dan komprehensif.

"EPU (Unit Perancangan Ekonomi) dan ICU (Unit Penyelarasan Pelaksanaan) sudah memulakan proses ini dengan melakukan sesi libat urus dengan semua kerajaan negeri dan dua hari lepas, kita dah maklumkan kepada semua menteri besar dan ketua menteri tentang inisiatif ini,” katanya.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan tambahan Datuk Seri Azizah Mohd Dun (Bersatu-Beaufort) mengenai langkah serta strategi kerajaan dalam menangani isu miskin tegar di seluruh negara, khususnya di Sabah, pada persidangan Dewan Rakyat pada Khamis.

Menjawab soalan Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) sebelum itu mengenai Sabah yang jauh ketinggalan dalam pembangunan infrastruktur serta kadar kemiskinan dan kos hidup yang tinggi, Mustapa berkata, terdapat usaha khusus memperkukuh pembangunan sosioekonomi di Sabah dan Sarawak dirangka dalam Rancangan Malaysia Ke-12.

Beliau berkata, bagi mempercepatkan pembangunan di negeri yang kurang membangun, sekurang-kurangnya 50 peratus daripada peruntukan pembangunan asas kerajaan Persekutuan diagihkan kepada negeri berkenaan termasuk Sabah.

Artikel Berkaitan:

"Kerajaan juga menubuhkan Jawatankuasa Kerja Sosio-Ekonomi bagi membincangkan dengan terperinci dan menyelesaikan isu serta permasalahan yang dihadapi Sabah dan Sarawak berhubung pembangunan sosioekonomi,” katanya. - Bernama