Kenaikan harga: Tiada laporan peniaga sorok barang

ROSOL
ROSOL
A
A
A

KUALA LUMPUR - Tiada laporan pengeluar atau peniaga ‘menyorok’ barang sehingga menyebabkan kenaikan harga barang keperluan di pasaran, Dewan Rakyat diberitahu pada Selasa.

Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna Datuk Rosol Wahid berkata, sebaliknya, kenaikan harga barangan disebabkan oleh impak pandemik Covid-19, banjir dan kenaikan kos bahan mentah.

"Kita ada lebih 2,000 penguat kuasa termasuk pemantau harga di seluruh negara yang memantau keberadaan barang ertinya mengesan barang-barang daripada pengeluar sampai kepada pengguna, berapa yang keluar, berapa yang masih ada (dalam stok),” katanya pada sesi soal jawab di sini, pada Selasa.

Beliau menjawab soalan tambahan Abdul Latif Abdul Rahman (Pas-Kuala Krai) yang mahu tahu apakah langkah yang diambil oleh kementerian bagi mengelak kerisauan peniaga sehingga terpaksa menyorok barang kerana kawalan harga oleh kerajaan.

Menjawab soalan tambahan Datuk Mahfuz Omar (PH-Pokok Sena) mengenai import ayam bagi mengimbangi harga dan memastikan keperluan negara mencukupi, Rosol berkata sehingga kini, sebanyak 29 permit telah dikeluarkan kepada pengimport.

"Setakat ini kita hanya bawa masuk ayam dari Thailand, tiada dari China atau Brazil, saya difahamkan sebanyak dua atau tiga kontena telah dibawa masuk untuk permulaan,” katanya.

Sementara itu, menjawab soalan asal Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (PH-Pandan) berkenaan langkah yang telah diambil oleh Majlis Tindakan Sara Hidup Negara (NACCOL) bagi memastikan kawalan harga munasabah ke atas barang keperluan, Rosol berkata dua mesyuarat NACCOL telah diadakan pada 9 Disember 2021 dan 31 Januari tahun ini.

Hasil mesyuarat tersebut, beberapa langkah jangka pendek telah diambil antaranya Program Jualan Keluarga Malaysia (PJKM): Program Mekanisme Kawalan Harga Minyak Masak dan Skim Harga Maksimum Keluarga Malaysia (SHMKM) dilanjutkan hingga 5 Jun ini.

Artikel Berkaitan:

Langkah lain ialah harga runcit ayam standard di bawah SHMKM diturunkan kepada RM8.90; harga telur ayam bagi gred A, B dan C telah diturunkan semasa pelaksanaan SHMKM hingga Februari lepas, dikekalkan hingga Jun ini serta subsidi kepada penternak ayam dan telur ayam. - Bernama