Tiada aduan kenaikan harga melampau sepanjang SHMMP

Salahuddin
Salahuddin
A
A
A

PUTRAJAYA - Tiada aduan diterima berhubung isu kenaikan harga barang melampau sepanjang Skim Harga Maksimum Musim Perayaan Hari Raya Puasa (SHMMP) 2023 dilaksanakan.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Datuk Seri Salahuddin Ayub berkata, berdasarkan pemantauan dan maklumat mendapati rata-rata pengguna malah peniaga turut berpuas hati dengan skim harga berkenaan.

"Alhamdulillah tidak ada langsung aduan tentang kenaikan harga (melampau) atau ada peniaga sengaja mengambil kesempatan.

"Secara keseluruhan rakyat berpuas hati tentang kawalan harga namun pemantauan terhadap harga barangan terutamanya barangan keperluan akan diteruskan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada kepada pemberita selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri Timbalan Perdana Menteri dan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Kediaman Rasmi Timbalan Perdana Menteri di Sri Satria di sini pada Ahad.

Pada 12 April lepas, SHMMP sempena Aidilfitri melibatkan 30 barangan dilaksanakan selama 16 hari bermula 15 April berakhir sehingga 30 April.

Salahuddin berkata, 30 jenis barangan di bawah skim itu termasuk enam barangan daripada kategori ayam dan telur, yang telah dikawal di bawah Penentuan Harga Maksimum Ayam dan Telur Ayam, berkuat kuasa sejak 5 Februari tahun lepas.

Mengulas lanjut, Salahuddin berkata, pihaknya dapat membuat pemantauan harga lebih efisien menerusi kerjasama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup dengan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan serta beberapa agensi lain termasuk media.

"Apabila ada sahaja aduan daripada pihak media, kita dengan cepatnya adakan perbandingan harga, dapatkan maklumat dan ini dapat selesaikan dengan segera.

"Sebagai contoh isu beberapa hari sebelum hari raya ada media melaporkan bakal ada 'shortage' telur di Kelantan dan Terengganu.

"Jadi pegawai saya turun padang untuk menyiasat perkara itu dan mengambil tindakan, langsung berlaku lambakan telur di dua negeri tersebut," ujarnya.