Harga sayur meningkat, peniaga minta pantau pemborong

Akibat harga sayur yang meningkat, peniaga terpaksa menghadkan pembelian sayur daripada pemborong memandangkan permintaan yang semakin berkurang.
Akibat harga sayur yang meningkat, peniaga terpaksa menghadkan pembelian sayur daripada pemborong memandangkan permintaan yang semakin berkurang.
A
A
A

SHAH ALAM - [DIKEMAS KINI] Kenaikan harga sayur-sayuran yang agak mendadak menimbulkan rungutan daripada rata-rata peniaga.

Menurut seorang penjual, Naib Misbah, 77, terdapat peningkatan harga pada sesetengah sayur-sayuran seperti kacang panjang, kacang buncis, bendi, terung panjang dan cili merah serta hijau.

Dia yang berniaga di Pasar Seksyen 6 di sini semenjak puluhan tahun lalu berkata, kenaikan itu dirasai semasa pasca pandemik Covid-19 dan menjelang Hari Raya Aidilfitri.

“Dulu kalau beli pasar borong, harganya berapa saja, RM4 ke RM6 bagi sekilogram (kg), sekarang ini sudah mencecah sekitar RM8 ke RM10.

“Ia menyebabkan saya terpaksa naikkan harga contohnya macam cili, dulu tak sampai RM10 pun jual, sekarang sudah berharga RM13,” katanya kepada Sinar Harian.

Jelas anak jati Klang itu, ekoran daripada harga sayur yang meningkat tersebut, dia terpaksa menghadkan pembelian sayur daripada pemborong memandangkan permintaan yang semakin berkurang.

“Sebelum ini, saya boleh beli daripada pemborong sampai 13kg, tapi sekarang 7kg sahaja, orang pun dah kurang membeli, saya tak boleh ambil banyak sangatlah.

“Bila berlaku peningkatan harga, ada penguat kuasa lakukan pemantauan. Mereka tanya saya, kenapa harga meningkat naik. Saya hanya boleh kata, mereka kena rujuk daripada pemborong sebab kami terpaksa naikkan pun kesan daripada harga yang ditawarkan pemborong.

“Jadi, saya minta mereka (penguat kuasa) kena lihat sama keadaan pasaran daripada pemborong supaya ada penyelesaian dapat dibuat,” tambahnya.

Sementara itu, seorang lagi peniaga, Ker, 33, berkata, sayur-sayuran import memang mencatatkan peningkatan mendadak selepas pandemik Covid-19.

“Antaranya termasuk sawi dan kailan Hong Kong serta kubis bunga daripada China. Dulu kita boleh jual dalam RM6 ke RM8, sekarang disebabkan peningkatan harga, terpaksa jual dalam RM10.

“Ada juga yang daripada tempatan seperti cili Kulai dulu meningkat mendadak sehingga RM19 ke RM20, tetapi disebabkan kerajaan kawal, harganya menurun kembali ke RM18, kalau tak, rasa-rasanya memang sudah meningkat ke RM20 ke atas,” jelasnya yang juga merupakan peniaga di Pasar Seksyen 6.

Dalam pada itu, seorang pembeli, Nor Athirah Zaharudin, 33, berkata,meskipun terdapat peningkatan harga, dia masih memilih untuk membeli di pasar berkenaan berbanding di tempat lain memandangkan harganya masih berpatutan.

Athirah
Athirah

“Kalau saya beli di pasar besar lain, harga seikat sawi dalam RM3, tapi kalau saya beli di sini, harganya dalam RM2, jadi agak murah lagilah saya boleh cakap,” ujarnya yang juga merupakan seorang akauntan.

Bagaimanapun pesara kerajaan, Abdullah Ahmad, 67, berkata, dia merasai peningkatan harga sayur-sayuran yang mendadak ketika ini.

Abdullah
Abdullah

“Sebelum raya dulu, sekali beli dalam harga RM50 sebab ramai anak pulang ke rumah. Sekarang ini tak beli banyak, ada dalam harga RM20 ke RM30. Tapi itu pun saya terasa kenaikan, ada dalam 20 peratus juga meningkat.

“Dengan keadaan pendapatan yang tidak seimbang ditambah peningkatan harga barang, ada juga terasa bebannya sekarang,” katanya.