Banjir kilat: Infrastruktur kawalan banjir digerakkan

Tuan Ibrahim
Tuan Ibrahim
A
A
A

KUALA LUMPUR - Semua infrastruktur sistem kawalan banjir Jabatan Pengairan dan Saliran Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (JPSWPKL) telah digerakkan susulan banjir kilat di beberapa kawasan di ibu negara petang Isnin.

Menteri Alam Sekitar dan Air Datuk Seri Tuan Ibrahim Tun Man berkata sistem kawalan banjir seperti rumah pam, pintu kawalan air, siren, kolam takungan dan lencongan banjir juga beroperasi dengan baik, mengikut prosedur operasi standard.

"Lencongan terowong SMART telah diaktifkan kepada Mod 2B pada 3.40 petang, Mod 2 (3.58 petang) dan seterusnya Mod 3 pada 4.44 petang,” katanya pada sidang media di sini malam Isnin.

Beliau berkata kejadian hujan lebat berterusan yang bermula sejak 2.30 petang Isnin telah menyebabkan berlakunya banjir kilat di jalan-jalan utama pusat bandar Kuala Lumpur, Jalan Batu Bata, Kampung Periuk, Kampung Pasir Baru dan Kolej Telekom.

"Hujan lebat luar biasa dalam tempoh dua jam itu menyebabkan sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampung kapasiti aliran air yang tinggi,” katanya.

Sehubungan itu bagi mengurangkan risiko banjir kilat, Tuan Ibrahim berkata JPSWPKL sedang melaksanakan kerja pembaikan dan menaik taraf kolam takungan banjir di bandar raya ini, termasuklah Kolam Takungan Batu.

"Selain itu, dua projek mitigasi banjir iaitu projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) di Sungai Bunus dan projek lencongan Sungai Batu, dijangka siap menjelang Februari 2024,” katanya.

Sementara itu pada sidang media sama Ketua Setiausaha Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) Datuk Seri Dr Zaini Ujang berkata taburan hujan luar biasa, iaitu purata untuk hampir sebulan dalam satu hari yang melanda ibu kota hari ini, menjadi punca utama Lembah Klang mengalami banjir kilat.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata kebiasaannya taburan hujan tahunan di negara ini ialah sebanyak 2,500 milimeter (mm) dan purata untuk setiap bulan ialah 208mm.

"Namun taburan hujan yang turun pada hari ini seperti yang direkodkan di Stesen Taman Desa SMART, Kuala Lumpur ialah 106.5mm dan Stesen Air Panas, Kuala Lumpur dengan bacaan 155mm.

"Untuk dua jam sahaja, taburan hujan lebih daripada setengah purata bulanan. Bila air terlalu banyak dalam tempoh singkat, ia tidak sempat untuk masuk ke dalam longkang,” katanya. - Bernama