Dua projek tebatan banjir di KL dijangka siap 2024

Tuan Ibrahim (tengah) ketika sidang media di Pusat Kawalan Terowong SMART, di sini pada Isnin.
Tuan Ibrahim (tengah) ketika sidang media di Pusat Kawalan Terowong SMART, di sini pada Isnin.
A
A
A

KUALA LUMPUR- [DIKEMAS KINI] Dua projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB) bagi mengatasi masalah banjir di ibu kota dijangka siap pada tahun 2024.

Menteri Alam Sekitar, Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata, dua projek kolam takungan banjir berkenaan melibatkan Projek Mitigasi Banjir di Sungai Bunus dan Sungai Batu.

"Untuk makluman, kita ada masalah kelewatan dari segi pembinaan disebabkan kita tukar kontraktor baru-baru ini.

"Keseluruhan projek tebatan banjir di Kuala Lumpur bernilai RM3 bilion termasuk terowong SMART," katanya ketika sidang media di Pusat Kawalan Terowong SMART di sini pada Isnin.

Mengulas lanjut mengenai situasi banjir kilat yang berlaku di Kuala Lumpur pada Isnin, Tuan Ibrahim memaklumkan, bacaan hujan yang tinggi dalam tempoh dua jam telah direkodkan di stesen Taman Desa SMART dengan bacaan 106.5 milimeter (mm), manakala Stesen Air Panas dengan bacaan 155 mm.

Menurutnya, kebiasaannya, bacaan hujan setahun adalah sebanyak 2,500 mm, manakala 200 mm bagi sebulan.

"Tetapi (hari ini) untuk dua jam saja, 106.5 mm. Lebih daripada setengah purata bulanan. Apabila banjir ini (berlaku dalam) tempoh singkat, air tersebut tidak sempat masuk dalam longkang.

"Kejadian banjir berpunca daripada hujan luar biasa dalam tempoh dua jam menyebabkan sistem perparitan sedia ada tidak dapat menampung kapasiti aliran air yang tinggi," jelasnya.

Artikel Berkaitan:

Tambahnya, aras air Sungai Gombak di Stesen Jalan Tun Razak adalah pada paras bahaya dengan bacaan 31.99 m.

"Manakala aras air Sungai Gombak di Jalan Parlimen dan Sungai Klang di stesen Jambatan Tun Perak masing-masing 30.38 m dan 30.12 m.

"Insiden banjir kilat ini menyebabkan kawasan tempat letak kereta di Besraya ditenggelami air sehingga kedalaman 0.6 meter.

"Selain itu, dianggarkan 103 rumah telah terjejas di sekitar Kampung Periuk dan Kampung Pasir Baru, Kuala Lumpur," kata beliau.