14 lokasi di DUN Semambu masih berisiko banjir kilat

 Chun Kuang
Chun Kuang
A
A
A

KUANTAN - Sebanyak 14 lokasi dalam kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Semambu masih berisiko mengalami banjir kilat pada penghujung tahun ini.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Chan Chun Kuang berkata, ramalan itu dibuat kerana agensi berkaitan masih belum mengambil tindakan bagi menangani masalah tersebut.

Bagaimanapun katanya, perancangan untuk menyelesaikan masalah banjir kilat di 14 lokasi itu telah dilakukan selepas mereka menjalankan siasatan dan lawatan sebelum ini.

"Banjir kilat ini isu lama dan saya difahamkan mereka (agensi berkaitan) telah memohon peruntukan untuk menaik taraf longkang di lokasi yang sudah dikenal pasti.

"Mereka ada menyelenggara longkang di kawasan (DUN Semambu) namun (apabila hujan lebat) longkang tidak mampu menampung jumlah air yang banyak, tambahan pula projek perumahan semakin bertambah sekali gus menyebabkan kawasan takungan air semakin berkurang," katanya.

Sebahagian penduduk yang hadir pada sesi dialog banjir kawasan DUN Semambu di Kompleks Dagangan Mahkota, Indera Mahkota pada Sabtu.
Sebahagian penduduk yang hadir pada sesi dialog banjir kawasan DUN Semambu di Kompleks Dagangan Mahkota, Indera Mahkota pada Sabtu.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas sesi dialog banjir kawasan DUN Semambu di Kompleks Dagangan Mahkota, Indera Mahkota di sini pada Sabtu.

Seramai 50 wakil penduduk hadir pada sesi dialog bersama wakil agensi daripada Majlis Bandaraya Kuantan, Jabatan Pengairan dan Saliran serta Jabatan Kerja Raya.

Artikel Berkaitan:

Mengulas lanjut mengenai dialog itu, Chun Kuang berkata, penduduk membincangkan pelan dan tindakan yang akan dilaksanakan agensi berkaitan bagi menangani masalah banjir kilat.

Sebagai langkah jangka pendek, ujarnya, penduduk mendesak agar agensi berkaitan dapat mengambil tindakan segera dengan menyelenggara sistem perparitan dan longkang di kawasan DUN Semambu.