PDRM sedia bekerjasama kekang pembalak haram

Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.
Laporan muka depan Sinar Harian pada Jumaat.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Polis Diraja Malaysia (PDRM) sentiasa bersiap sedia membantu agensi berkaitan dalam usaha membendung kegiatan pembalakan haram di dalam negara.

Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (JKDNKA) Bukit Aman, Datuk Hazani Ghazali berkata, pihaknya mengalu-alukan sebarang maklumat daripada individu atau mana-mana pihak berkaitan untuk tindakan lanjut.

Tambahnya, sekiranya ada laporan, pihaknya akan merujuk perkara itu kepada agensi berkaitan untuk pengesahan sama ada kawasan itu dibenarkan pembalakan atau sebaliknya.

"Polis juga sentiasa bersedia untuk mengarahkan anggotanya bagi membantu jabatan berkenaan seperti jabatan perhutanan negeri untuk bantuan keanggotaan.

"Kita akan terus bantu jabatan atau agensi berkaitan untuk membendung kegiatan penerokaan dan pembalakan haram," katanya kepada Sinar Ahad.

Pada Jumaat, Sinar Harian menerusi laporan eksklusifnya melaporkan berkenaan kegiatan pembalakan haram yang dilakukan individu atau sindiket tertentu dengan mensasarkan pokok bernilai tinggi seperti cengal, balau dan merbau.

Ketua Pengarah Jabatan Perhutanan Semenanjung Malaysia, Datuk Mohd Ridza Awang berkata, mengikut perangkaan pada tahun 2020, keluasan tanah di Semenanjung Malaysia adalah seluas 13.22 juta hektar.

Jelasnya, daripada jumlah itu, seluas 5.69 juta hektar adalah tanah berhutan yang meliputi Hutan Simpanan Kekal (HSK) iaitu 4.8 juta hektar dan bukan HSK sebanyak 888,450 hektar.

Artikel Berkaitan:

Kata Mohd Ridza, untuk rekod pada tahun 2021, terdapat 407 kes kesalahan hutan dikesan yang mana 55 kes adalah pembalakan haram dan 352 kes adalah kesalahan hutan lain seperti menceroboh HSK untuk tujuan pendakian, perlombongan, pertanian dan seumpamanya.

Dedah beliau, pada tahun 2015, kita merekodkan 12 kes, tahun 2016 terdapat 11 kes, bagi tahun 2017 dan 2018 pula masing-masing dengan tiga kes sebelum meningkat kepada 84 kes pada tahun 2019. Tahun 2020 pula mencatatkan 56 kes manakala tahun lalu dengan 55 kes.

JPSM dari segi dasar tetap mengalu-alukan masyarakat untuk menyalurkan sebarang maklumat yang berkaitan berlakunya pembalakan haram.