PDRM sedia laporan lengkap isu salah laku anggota tiada tindakan

Acryl Sani (tengah) menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Pahang antara Ramli (kiri) dan Yahaya di IPK Pahang pada Rabu.
Acryl Sani (tengah) menyaksikan serah terima tugas Ketua Polis Pahang antara Ramli (kiri) dan Yahaya di IPK Pahang pada Rabu.
A
A
A

KUANTAN - Jabatan Integriti Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman telah menyediakan laporan lengkap berhubung dakwaan 125 laporan salah laku melibatkan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang belum diambil tindakan seperti yang didedahkan oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani berkata, laporan lengkap telah disiapkan berhubung perkara itu, selain akan meneliti laporan yang dikatakan belum dimaklumkan kepada SPRM berkaitan tindakan yang perlu diambil kepada pegawai dan anggota yang terlibat dengan pelanggaran tatatertib.

Menurutnya, PDRM tidak pernah berkompromi atau mengambil mudah tentang perkara itu sebaliknya sentiasa menjalinkan kerjasama erat dengan setiap agensi bagi memastikan integriti dalam PDRM sentiasa ditegakkan.

"Sebenarnya tindakan kepada pihak terlibat telah diambil namun tidak dilaporkan mungkin kerana masih dalam proses tindakan, lambat dihantar dan sebagainya.

"Paling utama tiada kes diketepikan tanpa tindakan kerana pihak PDRM memandang serius setiap pelanggaran tatatertib yang berlaku dalam kalangan pegawai dan anggota," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis Serah Terima Tugas Ketua Polis Pahang antara Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf dan penggantinya, Datuk Yahaya Othman di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Pahang di sini pada Rabu.

Acryl Sani berkata, pihaknya akan sentiasa memberi kerjasama bukan sahaja kepada SPRM tetapi juga kepada Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasa (SIAP) untuk memaklumkan tindakan-tindakan tatatertib yang diambil.

"Tindakan diambil atas pelbagai kesalahan mungkin melibatkan kes rasuah, dadah dan lain-lain," jelasnya.

Ketua Pesuruhjaya SPRM, Tan Sri Azam Baki sebelum ini mendedahkan terdapat 553 laporan salah laku termasuk 125 laporan membabitkan anggota polis tidak diendahkan oleh agensi berkaitan walaupun syor agar tindakan diambil telah dibuat SPRM.