'Haji perlu dilakukan dengan kemampuan'

No Image Caption
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan akan memberi pemahaman kepada jemaah haji bahawa ibadah itu perlu dilakukan dengan kaedah istitha'ah atau kemampuan.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Mujahid Yusof berkata, kemampuan itu termasuklah dari segi kewangan untuk menunaikan ibadah tersebut.

"Sebagaimana kita tahu, kemampuan atau istitha'ah adalah sebahagian syarat untuk kita melakukan haji. Salah satu makna kemampuan ialah dia berupaya dari segi kewangan untuk pergi haji.

"Kalau dia tak cukup kos yang kita tetapkan pada tahun 2019 iaitu RM22, 900, maknanya dia tak mampu. Tabung Haji selama 10 tahun kebelakangan ini membantu untuk mengurangkan beban mereka tapi dari sudut keperluan fiqah, kalau ikut betul-betul dia hanya boleh pergi haji dalam keadaan yang termampu," katanya menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Nizar Zakaria (BN-Parit) di Dewan Rakyat hari ini.

Dalam soalannya, Mohd Nizar ingin tahu perancangan masa hadapan kerajaan untuk merombak atau mengkaji semula subsidi diberikan kepada jemaah haji.

Menurut Mujahid, konsep istitha'ah itu juga akan membantu mengurangkan beban kos subsidi yang ditanggung Tabung Haji sebanyak RM400 juta.

"Kita akan memahamkan kepada jemaah di masa hadapan bahawa ibadah haji perlu dilakukan dengan memakai kaedah kemampuan dan sekaligus mengurangkan bebanan kos yang kita tanggung hampir RM400 juta.

"Jemaah haji selama ini bayar RM9,980, bayaran itu tetap, tak naik dan turun. Tapi kita ini yang sentiasa tanggung setiap tahun dan semakin bertambah kita punya tanggungan.

Artikel Berkaitan:

"Lepas ini kita akan perkenalkan konsep istitha'ah bagi kita mengurangkan beban bantuan daripada pihak TH," katanya.