TH jawab isu kesukaran jemaah haji di Mina

Keadaan di dalam khemah jemaah haji Malaysia di Mina.
Keadaan di dalam khemah jemaah haji Malaysia di Mina.
A
A
A

MAKKAH - Isu ruang sempit yang dihadapi jemaah haji Malaysia dalam khemah penginapan di Mina yang hangat diperkatakan di media sosial ketika ini bukanlah situasi yang baru timbul.

Keadaan berkenaan dihadapi oleh semua jemaah haji seluruh dunia termasuklah jemaah haji Malaysia terutama semasa kuota penuh dan apabila ada kuota tambahan.

Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Syed Hamadah Syed Othman berkata, ruang dan saiz di dalam sebuah khemah Mina di luar kawalan TH kerana ia disediakan oleh pihak berkuasa Arab Saudi untuk semua negara.

Katanya, sempadan kawasan Mina adalah ditetapkan oleh hukum dan tidak berubah dari dahulu walaupun jumlah jemaah haji semakin meningkat setiap tahun seiring dengan peningkatan jumlah rakyat di sesebuah negara.

Syed Hamadah (kiri) dan Syed Saleh ketika sidang media di Makkah pada Khamis.
Syed Hamadah (kiri) dan Syed Saleh ketika sidang media di Makkah pada Khamis.

"Ruang yang sempit telah dimaklumkan semasa kursus haji di tanah air dan semasa taklimat Masyair oleh pihak Pengurusan Maktab TH, ini termasuk sentiasa menekankan yang keadaan tidur di Mina tidak dapat dilakukan secara terlentang disebabkan ruangan yang sempit.

"Oleh kerana kekangan ruang itu, TH sentiasa menasihati jemaah haji agar membawa satu beg roda yang dibekalkan bagi mengelakkan ruang yang terhad ini menjadi semakin sempit. Tetapi ada yang membawa lebih daripada satu beg," katanya pada sidang media di Makkah pada Khamis.

Penginapan dan solat di dalam khemah yang sama.
Penginapan dan solat di dalam khemah yang sama.

Isu kesukaran jemaah haji di Mina ditimbulkan sebuah portal berbahasa Inggeris yang melaporkan mengenai rungutan jemaah haji yang terpaksa bersesak dalam khemah.

Portal yang memetik sumber berkata, jemaah seramai 44 orang telah ditempatkan dalam khemah yang hanya boleh membuatkan 34 jemaah haji.

Mengulas lanjut, Syed Hamadah berkata, kemudahan tilam diperkenalkan sejak tahun lalu telah merumitkan penerimaan jemaah haji terhadap ruang yang sempit kerana beranggapan satu tilam dibekalkan untuk seorang jemaah.

"Situasi satu tilam satu jemaah, hanya terpakai di Arafah. Manakala, keadaan di Mina, tilam adalah sebagai alas bukan sebagai tanda ruang satu tilam untuk seorang jemaah haji," katanya.

Syed Hamadah berkata, Pengurusan Maktab TH telah membantu jemaah haji di khemah menyusun kaedah yang terbaik untuk memuatkan semua jemaah dalam setiap khemah.

Suasana dalam khemah penginapan jemaah haji di Mina.
Suasana dalam khemah penginapan jemaah haji di Mina.

"Namun begitu, ada sebahagian jemaah haji yang tidak dapat menyesuaikan diri dengan suasana ini, dan pihak TH membenarkan mereka berulang alik dari Makkah ke Mina jika ada permintaan dan ini adalah atas kesanggupan serta daya usaha jemaah haji itu sendiri," katanya.

Pada masa sama, Syed Hamadah berkata, inisiatif awal TH dalam menangani situasi berkenaan adalah dengan memberi sebahagian ruang yang diperuntukkan untuk ruang pejabat dan penginapan petugas kepada jemaah haji bagi meningkatkan saiz ruang yang sedia ada.

"TH juga telah meningkatkan nisbah nafar awal yang dahulunya hanya 10 peratus dipertingkatkan sehingga 50 peratus pada tahun ini bagi mengatasi kesesakan di Mina,"katanya.

Syed Hamadah turut menafikan yang TH tidak mengambil tindakan ke atas semua rungutan dan aduan kerosakan yang berlaku di Mina.

"Pihak Pengurusan Maktab TH telah berusaha mengatasi masalah penyaman udara yang tidak berfungsi dengan baik, dengan menghubungi pihak yang bertanggungjawab untuk dibaik pulih dengan segera.

"Pihak berkuasa Arab Saudi juga sedang menambah baik kemudahan dan infrastruktur untuk menjaga kebajikan jemaah haji termasuk penyaman udara di Mina yang sudah berfungsi begitu lama," katanya.

Khemah jemaah haji di Mina.
Khemah jemaah haji di Mina.

Sementara itu, Ketua Rombongan Haji Malaysia, Datuk Seri Syed Saleh Syed Abdul Rahman berkata, untuk pelan jangka isu itu perlu dilihat daripada dua aspek.

Kata beliau, yang pertamanya dari sudut kemudahan dan keduanya dari segi perkhidmatan.

"Yang berkaitan infrastruktur dan kemudahan ia bergantung kepada pihak berkuasa kerajaan Arab Saudi kerana mereka mempunyai pelan dan program untuk memodenkan dan menambah kapasiti sehingga lima juta jemaah haji selaras Visi 2030.

"Dari segi perkhidmatan ia disampaikan pelbagai agensi terlibat bukan sahaja dengan pihak Masyariq tetapi melibatkan pihak lain seperti Kementerian Haji dan Umrah, pihak yang menguruskan pengangkutan, makanan, kesihatan dan sebagainya," katanya.

Kata Syed Saleh, TH akan memberi maklum balas mengenai kemudahan dan perkhidmatan yang diterima jemaah haji Malaysia kepada pihak yang terlibat untuk tindakan selanjutnya.