Jemaah haji perlu bersedia suhu panas di Madinah

Bahang panas sudah mulai terasa walaupun baru jam 7 pagi di Madinah ketika foto ini dirakamkan di hadapan hotel penginapan petugas haji Malaysia.
Bahang panas sudah mulai terasa walaupun baru jam 7 pagi di Madinah ketika foto ini dirakamkan di hadapan hotel penginapan petugas haji Malaysia.
A
A
A

MADINAH - [DIKEMAS KINI] Purata suhu waktu siang di Madinah ketika ini ialah sekitar 40 darjah Celsius dan waktu malam pula kira-kira 26 darjah Celsius.

Tidak dapat dinafikan suhu pada kadar itu adalah amat panas terutama bagi jemaah haji Malaysia yang sudah terbiasa dengan suhu iklim khatulistiwa.

Para petugas media yang tiba di bangunan Ibu Pejabat Tabung Haji (TH) di Madinah pada tengah hari Khamis turut merasai bahang cuaca panas tersebut.

Pergerakan daripada satu lokasi ke lokasi lain juga perlu dirancang supaya tidak terlalu terdedah kepada cuaca panas yang boleh meningkatkan risiko kepada dehidrasi.

Berdasarkan kepada keadaan semasa itu, Pengarah Operasi di Madinah, Ashrof Shamsuddin menasihati jemaah haji yang akan tiba secara berperingkat bermula 21 Mei ini agar memberikan perhatian sewajarnya kepada keadaan itu.

Jemaah dinasihatkan supaya bersedia dari segi mental dan fizikal untuk berdepan dengan cuaca panas di Madinah ketika ini.

Ujarnya lagi, jemaah digalakkan untuk berada di kawasan yang tidak terdedah kepada cuaca panas dan matahari, sentiasa minum air bagi mengelakkan sebarang perkara tidak diingini.

"Iklim di Arab Saudi umumnya adalah beriklim panas dan kering manakala di tanah air kita panas dan lembab. Kepanasan di Malaysia dan Arab Saudi berbeza komposisi udaranya.

"Dalam udara Arab Saudi tiada wap air. Keringnya cuaca itu kering sebenar dan pada hari Wukuf jangkaan suhu boleh mencecah sehingga 50 darjah Celsius.

"Jadi Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) sudah menasihati jemaah supaya minum banyak air, tidak pakai pakaian ketat dan sentiasa rujuk pasukan perubatan supaya ia dapat dicegah lebih awal, "katanya pada sidang media di sini.

Sertai kumpulan WhatsApp

Sementara itu Ashrof berkata, pada tahun ini TH telah mewujudkan kumpulan WhatsApp untuk memudahkan jemaah mendapat pelbagai maklumat yang akan disalurkan dengan cepat dan tepat.

Ashrof menunjukkan kumpulan WhatsApp yang perlu disertai jemaah sebaik tiba di Madinah pada 21 Mei ini.
Ashrof menunjukkan kumpulan WhatsApp yang perlu disertai jemaah sebaik tiba di Madinah pada 21 Mei ini.

"Kita minta jemaah untuk sertai kumpulan WhatsApp itu kerana ia lebih mudah bagi jemaah mengetahui pergerakan di Tanah Suci berbanding notis-notis yang ditampal seperti tahun-tahun sebelumnya.

"Bagi jemaah warga emas, akan ada kalangan jemaah dalam bilik mereka yang boleh menyampaikan maklumat itu kepada mereka," katanya.

Tambah beliau lagi, apabila semua jemaah berangkat meninggalkan Madinah, kumpulan WhatsApp berkenaan masih dikekalkan dengan pentadbir (Admin) akan bertukar kepada operasi di Makkah.

Sementara itu, Ashrof berkata, bagi fasa pertama, sebanyak 45 penerbangan jemaah haji Malaysia akan mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Prince Mohammad bin Abdulaziz secara berperingkat bermula Ahad ini.

Kata beliau, secara keseluruhan 14,000 jemaah akan tiba di Madinah secara berperingkat pada musim haji kali ini.

Menurutnya, jemaah haji akan ditempatkan di tiga bangunan iaitu Anwar Movenpick, Saja Al Madinah dan Emmar Royal dan dijangka berada selama enam hari sebelum bertolak ke Makkah.

Kata Ashrof, sepanjang berada di Madinah, TH telah menyusun pelbagai pengisian dan aktiviti antaranya menziarahi makam Nabi Muhammad SAW, memasuki Raudhah di Masjid Nabawi serta melawat tempat-tempat bersejarah di sini.

"Secara keseluruhannya persiapan untuk menyambut ketibaan jemaah haji berjalan lancar dan kita telah bersedia menerima duyufurrahman (tetamu ALLAH)," katanya.