Anak tukang bersih sampah buktikan berjaya belajar di luar negara

Jeffry Rais (tengah) bersama ibu bapanya di Pejabat SWM Environment Melaka di Cheng pada Khamis.
Jeffry Rais (tengah) bersama ibu bapanya di Pejabat SWM Environment Melaka di Cheng pada Khamis.
A
A
A

MELAKA - Meskipun pernah diejek ibu bapanya bekerja sebagai tukang bersih sampah, namun bukan penghalang kepada seorang pemuda untuk membuktikan dia mampu berjaya dan belajar di luar negara.

Jeffry Rais Jamaludin, 21, berkata, kata-kata menyakitkan itu dijadikan pembakar semangat untuk dia lebih gigih belajar sebelum berjaya ditawarkan ke di tingkatan empat Maktab Rendah Sains Mara (MRSM) Terendak dan memperoleh keputusan cemerlang dalam Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2019.

Menurutnya, hasil titik peluh ibunya Aisah Iberahim, 49, yang bekerja sebagai tukang pembersihan di pejabat SWM Environment Melaka dan bapanya Jamaludin Kamis, 59, pula pemandu lori, dia berjaya menyambung pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Kejuruteraan Kimia di Perancis.

"Disebabkan kehidupan keluarga yang sederhana, saya nak buktikan kepada mereka yang pernah ejek saya sebelum ini bahawa saya juga boleh berjaya.

"Alhamdulillah ALLAH SWT makbulkan, dan sekarang saya berada di tahun kedua pengajian dan berharap berpeluang menyambung pengajian di peringkat lebih tinggi serta bekerja di luar negara," katanya ketika ditemui pemberita di Pejabat SWM Environment Melaka di Cheng di sini, pada Khamis.

Sementara itu, Aisah berkata, pada mulanya dia bimbang untuk membenarkan anak ketiga dari empat beradik itu melanjutkan pengajian di luar negara kerana sering diberitahu situasi Islamfobia di Perancis.

Bagaimanapun, dia yakin Jeffry yang mesra dipanggil Jef mampu menghadapinya kerana dia seorang anak yang berdikari.

Katanya, selain Jef dia juga perlu memberikan wang belanja kepada anak keduanya yang sebelum ini menyambung pengajian di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di Skudai, Johor.

Artikel Berkaitan:

"Mula tak percaya anak akan belajar di luar negara, tapi saya bangga kerana dia nak bantu tingkatkan taraf kehidupan kami sekeluarga.

"Apa yang penting jangan pilih kasih dan setiap anak ada kelebihan masing-masing," katanya.