[VIDEO] Usul Najib dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen

Najib - Foto Bernama
Najib - Foto Bernama
A
A
A
KUALA LUMPUR - Blok pembangkang pada Khamis mengemukakan usul supaya Ahli Parlimen Pekan, Datuk Seri Najib Tun Razak dirujuk ke Jawatankuasa Hak dan Kebebasan Parlimen kerana mengeluarkan kenyataan yang mengelirukan Dewan Rakyat.

Tony Pua (PH-Damansara) ketika mengemukakan usul itu berkata, kenyataan yang dibuat Najib ketika membahaskan Titah Diraja pada Rabu itu juga turut disifatkan sebagai menghina majlis.

Katanya, usul dalam bentuk surat itu juga telah diserahkan kepada pejabat Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Azhar Azizan Harun.

“Beliau (Najib) telah mengelirukan dewan dalam beberapa perkara yang dibangkitkan termasuk menyatakan tiada satu prinsipal hutang 1 Malaysia Development Berhad (1MDB) pernah dibayar oleh kerajaan.

“Ini adalah palsu kerana kerajaan telah telah pun membayar RM8.8 bilion prinsipal dan faedah semasa beliau menjadi Menteri Kewangan.

“Keduanya, beliau sudah menyebut penjimatan kepada penyelesaian perjanjian berat sebelah pengeluar tenaga bebas (IPP), peninggalan zaman Perdana Menteri keempat yang diselesaikan dengan bantuan 1MDB mengambil alih IPP ini sudah menjimatkan sebanyak RM50 bilion. Ini adalah palsu," katanya di Dewan Rakyat pada Khamis.

Dalam sesi perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat pada Rabu, Najib yang juga bekas Perdana Menteri mendakwa tidak ada satu sen pun wang rakyat yang digunakan untuk membayar prinsipal hutang 1MDB.

Jelasnya, bayaran sebanyak RM16.4 bilion yang diterima daripada Goldman Sachs bukanlah wang rakyat sebaliknya itu adalah wang bank terbabit yang boleh digunakan untuk membayar hutang 1MDB.

Katanya, beberapa dana lain termasuk daripada Jabatan Kehakiman (DOC) Amerika Syarikat, Ambank, KPMG dan Deloittes yang kesemuanya berjumlah RM23 bilion juga bukan wang rakyat.
Artikel Berkaitan:


Kenyataan Najib itu bagaimanapun disangkal Menteri Kewangan, Senator Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pagi tadi.

Tengku Zafrul menyifatkan dakwaan kerajaan belum membayar prinsipal hutang 1MDB sebagai tidak berasas.

Ini kerana katanya, hutang berkenaan hanya akan matang pada tahun 2039.