Sila log masuk terlebih dahulu.

Pakar ekonomi sangkal kenyataan Najib hutang 1MDB tak guna dana awam

Najib pada sidang Parlimen pada Rabu memberitahu, tiada satu sen dana awam digunakan oleh kerajaan untuk membayar balik jumlah hutang pokok 1MDB.
Najib pada sidang Parlimen pada Rabu memberitahu, tiada satu sen dana awam digunakan oleh kerajaan untuk membayar balik jumlah hutang pokok 1MDB.
A
A
A

SHAH ALAM - Kenyataan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak yang mengatakan tiada dana awam digunakan untuk membayar hutang 1Malaysia Development Berhad (1MDB) adalah tidak benar dan tepat.

Menurut pakar ekonomi, Datuk Dr Nungsari Ahmad Radhi, semua hutang 1MDB mempunyai kadar faedah yang perlu dilangsaikan dan ia perlu dibayar oleh kerajaan.

Katanya, dalam konteks 1MDB, syarikat pelaburan tersebut juga mengeluarkan bon untuk berhutang.

“Jadi dakwaan Najib tidak betul. Bon itu ada faedah. Jadi, siapa yang membayar faedah ini? Kerajaanlah yang bayar.

“Ini tak termasuk dengan duit pokok (prinsipal). Hutang ini perlu dibayar pada ketika ia matang. Mungkin pada tahun ini, tahun depan atau tahun seterusnya.

"Perlu diingat 1MDB mengeluarkan bon menggunakan jaminan kerajaan. Oleh itu ia dikira sebagai liabiliti kerajaan. 1MDB tidak ada duit nak bayar, sebab itu kerajaan yang kena bayar,” katanya ketika dihubungi Sinar Harian, pada Rabu.

Bon merujuk kepada sijil pelaburan yang dikeluarkan oleh kerajaan atau perbadanan, yang menunjukkan bahawa sejumlah wang telah dipinjamkan dan akan dibayar balik berserta faedah.

Najib pada sidang Parlimen pada Rabu memberitahu, tiada satu sen dana awam digunakan oleh kerajaan untuk membayar balik jumlah hutang pokok 1MDB.

Artikel Berkaitan:

Najib menjelaskan pelbagai entiti, termasuk Goldman Sachs Group Inc, firma audit KPMG dan Deloitte, Ambank dan Jabatan Kehakiman (DOJ) Amerika Syarikat (AS) telah memulangkan dana 1MDB, berjumlah RM23 bilion kepada Malaysia.

Bagaimanapun, Nungsari berkata, dalam mahkamah di Amerika Syarikat, bekas jurubank Goldman Sachs, Tim Leissner mengaku membantu menggelapkan berbilion dolar daripada dana 1MDB.

"Malah pada tahun lalu, Kementerian Kewangan dalam satu kenyataan juga mengumumkan telah memperoleh semula RM1.9 bilion lagi dana 1MDB yang dicuri dengan bantuan DOJ yang menyerahkan wang itu ke Akaun Amanah Mendapatkan Kembali Aset Malaysia.

“Jadi, wang dan harta yang disita daripada individu yang mencuri duit 1MDB datang secara berperingkat. Ini akan melibatkan beberapa tahun setelah bon dikeluarkan,” katanya.