KBS tiada kuasa campur pentadbiran BAM

Ti Lian Ker. - Foto Bernama
Ti Lian Ker. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Belia dan Sukan (KBS) tidak mempunyai bidang kuasa untuk campur tangan hal ehwal pentadbiran atau dasar Persatuan Badminton Malaysia (BAM).

Timbalan Menteri KBS, Datuk Seri Ti Lian Ker berkata, kementerian itu hanya boleh campur tangan sekiranya sesuatu isu dipanjangkan kepada pihaknya menerusi Pesuruhjaya Sukan Malaysia (PSM).

Namun katanya, KBS mengambil maklum berkenaan isu melibatkan dua pemain negara, Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei yang mengambil keputusan untuk keluar dari naungan BAM sekali gus bermain secara bersendirian telah mencuri perhatian peminat sukan badminton dalam dan luar negara.

"KBS bersama BAM mempunyai perancangan jangka panjang dan rapi serta memerlukan pelaburan besar serta komitmen tinggi bagi melahirkan atlet bertaraf antarabangsa.

“Pelaburan ini meliputi komitmen kerajaan, peranan Persatuan Sukan Kebangsaan (PSK) dan juga kesinambungan penajaan dalam memastikan program-program pembangunan atlet dari peringkat akar umbi hingga antarabangsa dapat dirancang dan dilaksanakan,” katanya di Dewan Rakyat pada Rabu.

Beliau berkata demikian bagi menjawab soalan daripada William Leong Jee Keen (PH-Selayang) yang meminta KBS untuk menyatakan alasan BAM menghalang pemain daripada bergerak secara profesional, termasuk melarang mereka daripada menyertai kejohanan antarabangsa termasuk langkah yang diambil untuk membetulkan tindakan itu.

Mengulas lanjut Lian Ker berkata, atlet yang membuat keputusan untuk bergerak bersendirian atau secara profesional dan mengetepikan komitmen akan menjejaskan matlamat badan sukan berkenaan untuk perancangan awal atlet dan pasukan.

"Ini akan memberi impak besar serta membawa implikasi kepada PSK yang mana ia akan mewujudkan konflik antara badan sukan, pasukan atlet dan penaja.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu badan sukan berkenaan juga berkemungkinan akan berhadapan tindakan undang-undang disebabkan perjanjian yang telah dimeterai dengan mengambil kira kehadiran atlet yang dikenal pasti dalam program sukan berkenaan.

“Bagaimanapun, BAM telah menemui langkah penyelesaian untuk atlet yang berhasrat melangkah ke dunia profesional dengan memberi pelepasan kepada mereka di samping menarik balik penggantungan pemain profesional serta membenarkan atlet bertanding di kejohanan atau temasya antarabangsa,” ujarnya.