Dewan Rakyat lulus RUU Kualiti Alam Sekeliling

KUALA LUMPUR - Dewan Rakyat hari ini meluluskan Rang Undang-Undang (RUU) Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 yang antaranya untuk membolehkan Sabah dan Sarawak diberi kuasa perundangan dalam pengurusan buangan terjadual.
RUU berkenaan diluluskan dengan lebih suara bersetuju selepas ia dibentangkan bagi bacaan kali kedua dan ketiga oleh Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Arthur Joseph Kurup.
Beliau berkata, RUU itu adalah langkah strategik kerajaan untuk memperkukuh kerangka perundangan alam sekitar negara selaras dengan prinsip federalisme, tadbir urus baik serta komitmen terhadap pelaksanaan Perjanjian Malaysia 1963.
"Pindaan ini merupakan sebahagian usaha berterusan kerajaan bagi memastikan sistem pengurusan alam sekitar negara kekal responsif, fleksibel dan berdaya tahan dalam mendepani cabaran semasa," katanya semasa sesi penggulungan RUU itu.
Berhubung keperluan sistem atas talian bagi pelaporan pemantauan alam sekitar secara berterusan dan pengendalian buangan terjadual, beliau berkata, Sarawak telah membangunkan Sistem Pengurusan Sisa Terjadual di bawah platform Environmental Information System Sarawak (EnvISS) pada 22 Jan 2025.
"Beberapa siri sesi latihan sistem telah dianjurkan kepada semua pegawai dan wakil industri yang berkaitan bagi memberi pendedahan dan persediaan," katanya.
Bagi Sabah pula, Arthur berkata, Sabah Electronic Scheduled Waste Information System kini telah mencapai 90 peratus tahap kesiapsiagaan.
"Sistem ini akan menggantikan sistem eSWIS (Electronic Schedule Waste System) yang digunakan oleh Jabatan Alam Sekitar Negeri Sabah bagi tujuan pemantauan pergerakan buangan terjadual di Sabah dan sistem ini dijangka akan mula beroperasi sepenuhnya pada November 2026," katanya.
Pindaan kali kelapan terhadap Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974 (Akta 127) itu bertujuan meminda Seksyen 1 akta berkenaan dengan memasukkan subseksyen (3) baharu untuk memberikan menteri kuasa menggantung kuat kuasa keseluruhan atau mana-mana peruntukan akta tersebut di bahagian yang berlainan di Malaysia.
Terdahulu, 21 Ahli Parlimen daripada blok kerajaan dan pembangkang mengambil bahagian dalam perbahasan RUU berkenaan.
Antaranya, Vivian Wong Shir Yee (PH-Sandakan) yang menyifatkan pindaan bagi pemberian kuasa kepada menteri berpotensi mempercepat tindakan penguatkuasaan serta pemantauan.
Siti Aminah Aching (BN-Beaufort) pula berkata, pindaan Akta 127 itu dilihat sebagai cerminan kematangan federalisme, mengambil kira kepelbagaian realiti di Sabah dan Sarawak yang berbeza dari segi geografi dan cabaran pembangunan.
Riduan Rubin (Bebas-Tenom) yang turut menyokong RUU itu bagaimanapun menekankan kepentingan memastikan kesiapsiagaan institusi negeri berada pada tahap optimum bagi menyokong pelaksanaan kuasa autonomi secara berkesan.
"Sekiranya penggantungan dilaksanakan tanpa perjawatan teknikal mencukupi, kemudahan makmal forensik lengkap, sistem pemantauan bersepadu serta dana peralihan yang jelas, risiko kelemahan penguatkuasaan adalah nyata," katanya.
Persidangan bersambung esok. - Bernama
Ringkasan AI
- Dewan Rakyat meluluskan RUU Kualiti Alam Sekeliling (Pindaan) 2026 yang membolehkan Sabah dan Sarawak mengurus buangan terjadual
- RUU ini bertujuan memperkukuh kerangka perundangan alam sekitar di Malaysia selaras dengan Perjanjian Malaysia 1963
- Pindaan menyediakan sistem atas talian untuk pelaporan pemantauan alam sekitar dan pengendalian buangan terjadual di Sarawak dan Sabah
- Sarawak membangunkan Sistem Pengurusan Sisa Terjadual di bawah platform EnvISS, manakala Sabah mencapai 90% kesiapsiagaan untuk sistem penggantinya
- Pindaan juga memberi menteri kuasa menggantung atau meminda kuasa perundangan tertentu untuk adaptasi yang lebih baik terhadap perubahan atau cabaran semasa
Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!
