37 insiden ragut nyawa mahasiswa direkod dalam tempoh 5 tahun

Adam Adli
Adam Adli
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan merekodkan sebanyak 37 insiden yang meragut nyawa mahasiswa di kampus-kampus universiti awam sepanjang tempoh lima tahun dari 2021 sehingga tahun lalu.

Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Adam Adli Abdul Halim berkata, daripada jumlah itu sebanyak 18 kes membabitkan kemalangan manakala sebanyak 19 kes melibatkan kematian mengejut.

"Sepanjang lima tahun, kes direkod ini agak kecil kalau kita bandingkan dengan jumlah mahasiswa dalam tempoh itu, namun tentu sekali kalau boleh kita mahu ia tidak berlaku langsung. Alhamdulillah, (kes) jenayah tidak pernah direkodkan

"Jadi untuk penambahbaikan di masa hadapan, kita sentiasa perkasakan langkah-langkah baharu termasuk kita keluarkan arahan rasmi kepada semua Institut Pendidikan Tinggi (IPT) awam dan swasta untuk laksanakan pemeriksaan keselamatan secara menyeluruh dan berkala," katanya semasa sidang Dewan Rakyat di sini pada Rabu.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Ir Khairil Nizam Khirudin (PN-Jerantut) mengenai statistik kejadian di IPT yang meragut nyawa pelajar dalam lima tahun kebelakangan ini dan perancangan jangka masa pendek, sederhana dan panjang kementerian bagi memastikan perlindungan serta keselamatan kampus ditambah baik secara menyeluruh.

Adam Adli menambah, langkah baharu tersebut juga merangkumi semakan terhadap sistem keselamatan di kampus dan kediaman serta keberkesanan kawalan akses kamera litar tertutup (CCTV), pemasangan CCTV serta laluan keselamatan yang terang dan selamat.

"Kemudian kita juga pastikan ada semakan terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang berkait dengan keselamatan dan kecemasan termasuk prosedur keluar masuk pelawat di asrama serta respons pantas sekiranya berlaku sebarang insiden.

"Manual rujukan permohonan dan penggunaan kenderaan bukan milikan universiti Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) turut dibangunkan dengan kerjasama Universiti Putra Malaysia (UPM) serta Task Force Kebajikan Mahasiswa Universiti Awam untuk kita pastikan penggunaan kenderaan dilaksanakan secara terancang, telus serta menepati piawaian keselamatan kewangan dan tadbir urus," ujar beliau.

Kata beliau lagi, kerjasama erat dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan juga pihak berkuasa tempatan (PBT) juga dijayakan bagi meningkatkan kehadiran polis komuniti dan juga rondaan keselamatan di sekitar kawasan kampus.

Artikel Berkaitan:

 

 

Ringkasan AI

  • Kerajaan merekodkan 37 insiden kematian mahasiswa di universiti awam dari 2021 hingga tahun lalu
  • 18 kes adalah kemalangan manakala 19 kes adalah kematian mengejut
  • Tiada kes jenayah direkodkan dalam tempoh itu
  • Langkah-langkah baru termasuk pemeriksaan keselamatan dan penyemakan SOP akan diperkasakan
  • Kerjasama dengan PDRM dan PBT untuk tingkatkan kehadiran polis komuniti dan rondaan keselamatan di kawasan kampus

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!