[VIDEO] Kemelut BAM, Zii Jia, Jin Wei selesai: Norza

Gambar dari kiri: Zii Jia, Jin Wei
Gambar dari kiri: Zii Jia, Jin Wei
A
A
A

KONTROVERSI mengenai penggantungan dua tahun oleh Persatuan Badminton Malaysia (BAM) terhadap Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei, akhirnya berjaya diselesaikan secara baik demi kepentingan negara.

Dua hari selepas Zii Jia, pemain di ranking ketujuh dunia diberi lampu hijau untuk menjadi pemain profesional, bekas juara dunia remaja Jin Wei diberikan ‘restu’ sama oleh BAM untuk meneruskan karier badmintonnya.

Presiden BAM, Tan Sri Mohamad Norza Zakaria berkata, kedua-dua pemain kini dibenarkan berpisah dari badan induk sukan itu dengan persetujuan bersama tanpa sebarang tindakan lanjut dikenakan ke atas mereka.

Kedua-dua pemain negara itu juga layak mendaftar kejohanan antarabangsa berkuat kuasa serta-merta.

Beliau berkata, dalam perkara berkaitan Jin Wei, BAM bersetuju menerima peletakan jawatan (sebagai pemain kebangsaan) daripada bekas pemenang pingat emas Sukan SEA itu sebagai sah apabila beliau mengumumkan persaraannya atas sebab kesihatan pada September lepas.

Mengulas mengenai pertemuan dengan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Khamis, Mohamad Norza berkata Perdana Menteri gembira apabila dimaklumkan bahawa penyelesaian secara baik berjaya dicapai antara BAM dan pemain.

"Kita telah maklumkan kepada beliau bahawa perkara ini sudah selesai, beliau sangat gembira. Perdana Menteri berkata isu melanda badminton yang juga antara sukan utama negara telah mendapat perhatian semua pihak.

"Beliau turut memberikan motivasi kepada Zii Jia dan Jin Wei untuk melakukan yang terbaik demi negara walaupun sudah bergelar pemain profesional,” katanya Mohamad Norza ketika dihubungi.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu, Jin Wei menerusi laman Facebook mengucapkan terima kasih kepada Ismail Sabri, BAM, Mohamad Norza serta Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu yang membantu dalam menyelesaikan isu itu secara baik dan berikrar untuk terus menjulang badminton Malaysia di peringkat antarabangsa.

"Saya sentiasa bersyukur dan berterima kasih atas semua sokongan dan tunjuk ajar daripada Tan Sri Norza, BAM, jurulatih dan semua kakitangan sokongan sejak hari pertama saya menyertai.

"Dan akhir sekali, saya ingin mengucapkan terima kasih kepada anda semua atas sokongan berterusan sepanjang karier saya.

Saya berharap anda semua terus menyokong BAM dan saya, ketika saya memulakan perjalanan baharu sebagai pemain profesional,” katanya.

Pada Jumaat (21 Januari), BAM mengumumkan bahawa pihaknya tidak akan mendaftarkan Zii Jia menyertai mana-mana kejohanan dalam tempoh dua tahun berkuat kuasa 18 Januari selepas pemain negara itu menghantar surat untuk keluar dari BAM pada 11 Januari.

Bagaimanapun, pada Selasa (25 Januari), Mohamad Norza memberi lampu hijau kepada Zii Jia untuk bergerak sebagai pemain profesional selepas menerima surat rayuan dan mengadakan perbincangan dengan pemain itu.

Jin Wei turut menghantar surat rayuan berhubung penggantungan selama dua tahun yang berkuat kuasa 31 Oktober 2021 kerana meninggalkan BAM, dengan alasan mahu bersara berikutan masalah kesihatan dialami sejak September lepas sebelum membuat pusingan U dengan keputusan bergerak sebagai pemain profesional. - Bernama