LBS catat pertumbuhan PATMI 45.2 peratus bagi FYE2025

TAN SRI LIM HOCK SAN
TAN SRI LIM HOCK SAN
A
A
A

PETALING JAYA – LBS Bina Group Berhad (LBS) mencatatkan prestasi kewangan memberangsangkan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FYE2025), dengan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) daripada operasi berterusan meningkat 45.2 peratus kepada RM125.2 juta berbanding RM86.3 juta pada tahun sebelumnya.

Keputusan tidak diaudit yang diumumkan hari ini turut merangkumi prestasi suku keempat berakhir 31 Disember 2025 (Q4FYE2025), sekali gus mencerminkan pencapaian kukuh tahun pertama pelaksanaan Strategi 8 x 8 bagi tempoh tiga tahun.

Bagi suku keempat FYE2025, LBS merekodkan hasil sebanyak RM462.3 juta, meningkat 61.0 peratus berbanding RM287.1 juta dalam tempoh sama tahun lalu. Peningkatan itu didorong terutamanya oleh sumbangan lebih tinggi daripada segmen pembangunan hartanah yang melonjak 59.5 peratus kepada RM418.1 juta berbanding RM262.1 juta sebelumnya.

Susulan itu, LBS kembali mencatatkan pemulihan operasi yang teguh dengan PATMI dinormalisasikan sebanyak RM40.6 juta berbanding kerugian RM7.4 juta pada tempoh sama tahun lalu. Prestasi berkenaan disokong pelaksanaan pembangunan yang dipercepatkan bagi projek sedang berjalan serta realisasi kecekapan kos daripada projek yang telah siap.

No Image Caption

Bagi tahun kewangan penuh 2025, hasil LBS meningkat 8.3 peratus kepada RM1.6 bilion. Segmen pembangunan hartanah kekal sebagai penyumbang utama dengan menjana RM1.5 bilion atau 93.8 peratus daripada jumlah keseluruhan hasil.

Pertumbuhan itu dipacu kemajuan pembinaan lebih pesat di projek pembangunan sedia ada, khususnya di Lembah Klang seperti LBS Alam Perdana, KITA @ Cybersouth, Prestige Residence dan Projek Idaman.

Selain itu, pertumbuhan pendapatan turut dipengaruhi asas perbandingan lebih rendah pada tahun sebelumnya yang merangkumi kerugian pertukaran mata wang asing sekali sahaja susulan penyelesaian pinjaman dalam LBS berikutan pelupusan Lamdeal Investment Limited.

Artikel Berkaitan:

Pengerusi Eksekutif Kumpulan LBS, Lim Hock San berkata, FYE2025 menandakan tahun pertama pelaksanaan Strategi 8 x 8 dengan prestasi kewangan mencerminkan keberkesanan pendekatan strategik tersebut.

Menurutnya, LBS berjaya mencapai jumlah jualan RM1.4 bilion bagi tahun ini, mengatasi pencapaian RM1.3 bilion pada tahun sebelumnya, selain mengekalkan momentum pelaksanaan projek dengan permintaan kukuh merentas pasaran utama.

“Pembangunan di Lembah Klang terus menjadi tonggak utama keuntungan Kumpulan, disokong permintaan konsisten terhadap projek kediaman dan perindustrian.

“Kami juga akan mengendalikan pembangunan di salah sebuah perbandaran berprestij, Kwasa Damansara dengan pelancaran dijadualkan bermula pada 2027. Selain itu, kami teruja menjalin usaha sama bersama Oriental Holdings Berhad untuk membangunkan projek bercampur bersepadu di Klebang, Melaka,” katanya.

Sebagai menghargai sokongan berterusan pemegang saham, LBS meminda dasar dividennya dengan meningkatkan nisbah pembayaran dividen minimum daripada 30 peratus kepada 40 peratus daripada PATMI, berkuat kuasa FYE2025.

Seiring komitmen memperkukuh nilai pemegang saham, Lembaga Pengarah mengisytiharkan dividen interim pertama satu peringkat sebanyak 1.3 sen sesaham biasa yang akan dibayar pada 20 Mei 2026. Lembaga turut mencadangkan dividen akhir satu peringkat sebanyak 2.0 sen sesaham biasa, tertakluk kepada kelulusan pada Mesyuarat Agung Tahunan akan datang.

 

Dalam perkembangan sama, LBS mengumumkan pembatalan 10 juta saham perbendaharaan yang mewakili 0.6 peratus daripada jumlah saham biasa terbitan sebagai langkah strategik mengoptimumkan struktur modal serta meningkatkan nilai kepada pemegang saham.

 

Pengurangan jumlah saham dalam edaran itu dijangka meningkatkan pendapatan sesaham, menambah baik dividen sesaham serta mencerminkan komitmen Kumpulan dalam menyampaikan nilai mampan kepada pemegang saham.

 

Setakat 31 Disember 2025, LBS merekodkan baki tunai dan bank sebanyak RM653.2 juta, manakala aset bersih sesaham meningkat kepada RM1.10 berbanding RM1.05 sebelumnya, sekali gus menggambarkan kedudukan kewangan yang sihat.

 

Selain itu, jualan belum dibil berjumlah RM1.3 bilion dijangka terus memberikan keterlihatan pendapatan yang kukuh bagi tahun-tahun mendatang, selaras tumpuan Kumpulan terhadap pengurusan modal berdisiplin, prinsip kelestarian serta permintaan pasaran yang konsisten dalam memacu Strategi 8 x 8 dan mencipta nilai jangka panjang kepada semua pihak berkepentingan.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!