Melaka mohon RM1.08 bilion bagi tiga projek tebatan banjir

Rahmad
Rahmad
A
A
A

MELAKA - Kerajaan negeri Melaka telah memohon peruntukan RM1.08 bilion kepada Kementerian Alam Sekitar dan Air (KASA) bagi melaksanakan tiga lagi projek rancangan tebatan banjir (RTB) bertujuan mengatasi masalah banjir.

Exco Kerja Raya, Pengangkutan, Kemudahan Awam, Infrastruktur dan Pengurusan Banjir negeri, Datuk Rahmad Mariman berkata, permohonan menerusi Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu membabitkan projek RTB Sungai Putat bernilai RM50 juta, RTB Sungai Durian Tunggal (RM30 juta) dan RTB Sungai Melaka Fasa 2 (RM1 bilion).

"Kerajaan negeri memandang serius dalam menangani masalah banjir yang berlaku, memandangkan keadaan masa kini hujan lebat berlaku di luar musim serta luar jangka, dan ia merupakan satu rangka penyelesaian holistik untuk isu banjir di Melaka.

"Kita optimis dua projek iaitu di Sungai Durian Tunggal dan Sungai Putat akan diluluskan bagi melaksanakan pembesaran kolam takungan sedia ada termasuk pengambilan tanah,” katanya kepada pemberita selepas Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka di Kompleks Seri Negeri di Ayer Keroh di sini hari ini.

Terdahulu Rahmad (BN-Ayer Molek) menjawab soalan Leng Chau Yen (PH-Bandar Hilir) mengenai RTB di Melaka yang dilaksanakan kerajaan negeri dan Persekutuan.

Beliau berkata, satu kajian Pelan Induk Saliran Mesra Alam Daerah Melaka Tengah, Alor Gajah dan Jasin bernilai RM8 juta juga telah dipohon kepada kementerian bagi perancangan sistem peparitan di ketiga-tiga daerah itu untuk memudahkan setiap agensi membuat perancangan pembangunan.

Menurutnya, kerajaan negeri turut menyalurkan RM13.5 juta bagi tindakan mitigasi segera melibatkan 62 projek termasuk pembinaan ban dan parit keluar serta menaik taraf benteng parit.

"Selain itu RM8.1 juta diperuntukkan kerajaan Persekutuan bagi menjalankan 109 projek tebatan banjir dan kesemuanya dijangka disiapkan menjelang September depan,” katanya. - Bernama

Artikel Berkaitan: