'Misi balas jasa' ke Terengganu, Kelantan

Muhammad Syafik (kiri) dan Ruzuwan bersama kenderaan dan bot yang dibawa untuk misi bantuan banjir di Terengganu dan Kelantan
Muhammad Syafik (kiri) dan Ruzuwan bersama kenderaan dan bot yang dibawa untuk misi bantuan banjir di Terengganu dan Kelantan
A
A
A

TEMERLOH - Keprihatinan ditunjukkan rakyat Terengganu dan Kelantan ketika Pahang dilanda banjir baru-baru ini benar-benar menyentuh jiwa dua pemuda dari Temerloh, Pahang.

Muhammad Syafik Che Ya, 33, dan Ruzuwan Razak, 38, bertekad untuk membalas semula jasa mereka dengan mengambil inisiatif sendiri menggerakkan misi bantuan banjir di kedua-dua negeri tersebut.

Muhammad Syafik berkata, mereka telah pun bergerak ke Hulu Terengganu, Terengganu pada Isnin menggunakan sebuah kenderaan pacuan empat roda yang turut membawa bot serta barangan bantuan seperti air mineral dan makanan kering untuk diagihkan kepada mangsa terjejas.

"Misi diteruskan di Rantau Panjang, Kelantan pada hari ini (Selasa) dan kami akan berada di Rantau Panjang hingga air surut.

"Mungkin dua tiga hari berada di Kelantan sebelum pulang ke Temerloh," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Antara barangan bantuan yang diagihkan kepada mangsa banjir di lokasi terlibat hasil inisiatif Muhammad Syafik dan Ruzuwan.
Antara barangan bantuan yang diagihkan kepada mangsa banjir di lokasi terlibat hasil inisiatif Muhammad Syafik dan Ruzuwan.

Mengimbau kembali kebaikan rakyat Terengganu dan Pahang, Muhammad Syafik mengakui rakyat dari kedua-dua negeri terbabit banyak membantu mangsa-mangsa banjir di Pahang khususnya di Temerloh.

Beliau sendiri pernah membantu membawa masuk pasukan bantuan dari negeri-negeri terbabit ke kawasan-kawasan pedalaman di daerah itu.

Artikel Berkaitan:

Sementara itu jelasnya, misi dilaksanakan kedua-duanya itu tidak melibatkan dana daripada mana-mana pihak.

"Untuk misi ini, kami tidak menggunakan dana mana-mana pihak cuma sumbangan beberapa rakan lain selain ada yang turut menyumbang sebelum bergerak semalam (Isnin)," jelasnya yang juga seorang pengusaha sangkar ikan di Kampung Pangsenam di sini.