Bolehkah kita nikmati 5G hujung tahun ini?

Liputan rangkaian 5G di Malaysia amat ditunggu-tunggu seluruh rakyat negara ini. - Gambar hiasan
Liputan rangkaian 5G di Malaysia amat ditunggu-tunggu seluruh rakyat negara ini. - Gambar hiasan
A
A
A

LIPUTAN rangkaian 5G di Malaysia amat ditunggu-tunggu seluruh rakyat negara ini. Kita dijangka dapat menikmati kemudahan berkenaan menjelang hujung tahun ini.

Tetapi amat menyedihkan apabila hanya tiga kawasan di Malaysia iaitu di Putrajaya, Cyberjaya dan Kuala Lumpur yang menerima liputan berkenaan setakat ini.

Jika kita dibandingkan dengan negara lain seperti Singapura, akses 5G meliputi dua pertiga republik tersebut. Ia juga dijadualkan dapat mencapai liputan 5G di seluruh negara menjelang 2025.

Di Indonesia, jaringan 5G sudah wujud sejak Jun 2021 menerusi tiga syarikat telekomunikasi.

Di Thailand pula, syarikat telekomunikasi terbesarnya telah menawarkan liputan 5G di 76 peratus lokasi negara itu setakat tahun lepas.

Kini, penduduk di negara ini hanya mengharapkan rangkaian 4G untuk melayari internet.

Kadar penggunaan internet di Malaysia yang sangat tinggi menyebabkan capaian berkenaan sangat teruk bukan sahaja di kawasan kampung malah di bandar besar.

Perkara itu dialami penulis sendiri yang menetap di Shah Alam, Selangor lebih-lebih lagi jika melayari internet pada waktu siang.

Artikel Berkaitan:

Keadaan itu amat meresahkan ramai pengguna terutamanya yang menggunakan perkhidmatan telco untuk melayari internet.

Pekerja yang bekerja dari rumah dan pelajar yang menjalani Pengajaran dan Pembelajaran di Rumah (PdPR) juga sering menghadapi masalah berkenaan.

Perkara itu boleh diatasi jika liputan 5G dapat diperluaskan ke seluruh negara sekurang-kurangnya pertengahan tahun ini.

Nokia tawar bantuan

Menyedari masalah dihadapi negara ini, pada 23 Februari lalu syarikat telekomunikasi Nokia mahu membantu kerajaan dalam usaha mempercepat pelaksanaan rangkaian 5G menerusi portfolionya yang kukuh pada tahun ini.

Syarikat yang terkenal dalam industri telekomunikasi itu memberi sokongan penuh terhadap usaha kerajaan bagi membangunkan rangkaian 5G.

Pengarah Urusan Nokia bagi Malaysia, Datuk Mohd Rauf Nasir berkata: “Bagi membolehkan 5G beroperasi sepenuhnya, anda perlukan stesen asas atau rangkaian akses radio (RAN) yang juga di bawah portfolio rangkaian mudah alih kami.

“Nokia mempunyai kesemua aspek ini agar pelanggan dapat menjadikan 5G beroperasi sepenuhnya.”

Tawaran yang diberikan syarikat Nokia amat dialu-alukan rakyat Malaysia namun, pihak kerajaan perlu menyelesaikan polemik yang menghalang kemudahan itu dilaksanakan dengan kadar segera.

Polemik tersebut melibatkan kedudukan syarikat tujuan khas (SPV) 5G di Malaysia iaitu Digital Nasional Berhad (DNB) dan isu pemilihan rangkaian borong tunggal (SWN) dalam pelaksanaan perkhidmatan berkenaan.

Akibat masalah tersebut, pada 25 Februari lalu Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia, Tan Sri Annuar Musa menyatakan pihaknya bersama Kementerian Kewangan akan membentangkan Memorandum Jemaah Menteri.

Menurutnya, kedua-dua kementerian telah menyiapkan draf memorandum berkenaan dan akan diedarkan kepada beberapa kementerian berkaitan untuk mendapatkan pandangan dalam tempoh dua minggu.

Dianggarkan pada 3 atau 4 Mac ini, KKMM akan bentangkan untuk jemaah menteri membuat keputusan.Bagi penulis, apa pun masalah yang berlaku pihak kerajaan perlu menyelesaikannya dengan baik dan menjadi tanggungjawab mereka menyediakan perkhidmatan terbaik kepada rakyat negara ini.

Untuk menjadi negara maju seperti Jepun, Korea Selatan dan Singapura, liputan 5G memainkan peranan penting terutama dalam bidang ekonomi dan industri.

Diharap kerajaan dapat mengotakan janji mereka untuk menbolehkan semua pelayar internet di seluruh negara menikmati rangkaian 5G pada hujung tahun ini. Paling penting yang kita harapkan ia mestilah murah untuk kegunaan rakyat.

* Siti Noraisah Adamin ialah wartawan WEB PRU