MBI tanam bangkai anjing elak penyebaran penyakit: Datuk Bandar

Laporan Sinar Harian pada Ahad.
Laporan Sinar Harian pada Ahad.
A
A
A

IPOH - Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) mengambil tindakan segera menanam kira-kira 20 bangkai anjing liar dipercayai diracun di kawasan Tasik Cermin di sini Sabtu lepas, bagi mencegah penyakit.

Datuk Bandar Ipoh, Datuk Rumaizi Baharin berkata, kerja-kerja pembersihan itu dilakukan pihak MBI apabila mendapati terdapat banyak bangkai anjing terbiar di kawasan tersebut.

"Setibanya kami di sana, kami melihat anjing-anjing tersebut sudah mati jadi kami mengandaikan terdapat individu yang tidak bertanggungjawab telah meracun haiwan berkenaan," katanya pada sidang media berkaitan baik pulih dan penurapan semula jalan-jalan di bandar raya Ipoh di sini, pada Isnin.

Mengulas lanjut, Rumaizi berkata, keadaan itu dibimbangi menyebabkan penularan penyakit berikutan pihak MBI menerima kira-kira 10 kes kematian anjing dalam tempoh sebulan dan menyerahkan kes itu kepada polis untuk siasatan lanjut.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Yahaya Hassan pada Ahad dilaporkan berkata, seorang warga emas membuat laporan di Balai Polis Kampung Rapat pada petang hari kejadian kerana tidak berpuas hati terhadap pihak berkuasa tempatan yang dikatakan menanam bangkai anjing itu tanpa merujuk Jabatan Perkhidmatan Veterinar.

Sementara itu, pada Sabtu lepas, Pengerusi Jawatankuasa Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Perak, Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi dilaporkan berkata, kematian anjing liar itu dipercayai akibat diracun oleh individu lain dan pekerja MBI yang datang ke lokasi kejadian hanya membantu mengalihkan bangkai haiwan berkenaan.

Dalam pada itu, Rumaizi berkata, kerja-kerja penurapan jalan di sekitar Ipoh akan diadakan secara berperingkat bermula pertengahan Mac hingga Julai tahun ini bagi fasa pertama.

"Kerja penurapan yang diamanahkan kepada pihak konsesi Syarikat Puncak Emas Infra Sdn Bhd melalui peruntukan Sistem Maklumat Rekod Jalan Raya (MARRIS) ini melibatkan sebanyak 67 lokasi dengan keseluruhan panjang jalan 56 kilometer melibatkan peruntukan kira-kira RM12 juta," katanya.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, MBI menerima aduan kerosakan jalan seperti lubang, jalan beralun, tampalan jalan yang tidak sempurna dan sebagainya daripada pelbagai pihak.

Katanya, kerosakan itu dipercayai berlaku kerana perubahan cuaca dan taburan hujan yang semakin tinggi saban hari. - Bernama