Taktik lapuk sindiket terbongkar, PDRM rampas dadah lebih 260 kg

Ayob Khan (dua kiri) menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam serbuan di ibu negara pada Selasa lalu.
Ayob Khan (dua kiri) menunjukkan antara dadah yang dirampas dalam serbuan di ibu negara pada Selasa lalu.
A
A
A

KUALA LUMPUR - Taktik lapuk sindiket yang menjadikan kondominium sebagai tempat penyimpanan dadah terbongkar dalam serbuan di ibu negara pada Selasa lalu.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) Bukit Aman, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, dua serbuan sepasukan JSJN Kuala Lumpur itu bertindak menahan dua suspek terdiri seorang lelaki tempatan dan wanita Vietnam dengan rampasan dadah jenis syabu seberat kira-kira 260.85 kilogram (kg) bernilai RM9.3 juta.

Menurutnya, suspek dipercayai pasangan kekasih itu dikatakan aktif menjalankan kegiatan berkenaan sejak hujung tahun lalu.

"Siasatan mendapati sindiket menjadikan kondominium sebagai tempat penyimpanan dadah sebelum diedarkan kepada pelanggan.

JSJN Kuala Lumpur merampas dadah jenis bernilai RM9.3 juta dalam serbuan di ibu negara pada Selasa lalu.
JSJN Kuala Lumpur merampas dadah jenis bernilai RM9.3 juta dalam serbuan di ibu negara pada Selasa lalu.

"Dadah yang dipercayai dibawa masuk dari utara tanah air itu juga akan diseludup ke Sabah dan Sarawak," katanya pada sidang akhbar di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur pada Isnin.

Beliau berkata, semakan mendapati suspek lelaki mempunyai rekod lampau bersabit kes jenayah dan dadah.

Katanya, ujian saringan air kencing juga mendapati pasangan terbabit positif dadah.

Artikel Berkaitan:

"Kedua-dua suspek kini direman tujuh hari sehingga 3 Mac untuk siasatan di bawah Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952. Tindakan turut diambil di bawah Akta Dadah Berbahaya (Pelucuthakan Harta) 1988," ujarnya.

Justeru, pihaknya berharap masyarakat akan terus menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti pengedaran dadah dengan menyalurkan maklumat melalui Hotline JSJN di talian 012-2087222.