Terpaksa pinjam duit untuk beli RTK Antigen Covid-19

Kit ujian kendiri yang digunakan Tuan Nur Suhaila sekeluarga
Kit ujian kendiri yang digunakan Tuan Nur Suhaila sekeluarga
A
A
A

KUALA LUMPUR - “Terpaksa bank-in duit kepada adik yang tidak mampu untuk membeli Kit Ujian Pantas (RTK) Antigen,” kongsi seorang tenaga pengajar, Tuan Nur Suhaila Raja Muhammad, 36.

Tuan Nur Suhaila berkata, situasi tersebut dialami oleh adiknya yang merupakan seorang suri rumah selepas suami serta dua anaknya menjalani kuarantin kendiri di rumah.

Menurutnya, alat tersebut kini sudah menjadi satu keperluan di rumah sejak pandemik Covid-19, sama seperti wajib mempunyai pelitup muka serta cecair pembasmi kuman.

Dia sendiri berhabis kira-kira RM200 untuk membeli kit ujian kendiri dalam masa kurang dua minggu selepas menjadi kontak rapat kepada rakan sekerja yang dijangkiti Covid-19.

“Itu tidak termasuk melakukan ujian saringan di klinik swasta berhabis RM165 untuk saya, suami dan seorang anak yang mengalami gejala Covid-19.

“Masa buat ujian kendiri keputusan negatif tapi ada gejala. Disebabkan kurang berpuas hati dengan keputusan tersebut saya buat saringan di klinik swasta dan saya disahkan positif,” katanya kepada Sinar Ahad.

Untuk rekod, Tuan Nur Suhaila dijangkiti Covid-19 sebelum merebak kepada suami dan dua anak secara berperingkat sementara seorang lagi anak disahkan negatif.

Jelasnya, kos tersebut membebankan tetapi dia tiada pilihan demi kesihatan keluarga tambahan pula atas rasa tanggungjawab tidak mahu menjadi penyebar wabak kepada murid sekolah.

Artikel Berkaitan:

“Kami yang suami isteri bekerja pun rasa terbeban dengan kos tersebut, bayangkan mereka yang tidak mampu seperti mempunyai keluarga besar atau tiada pendapatan tetap. Golongan ini perlu dibantu.

“Mereka yang menjadi kontak rapat juga tidak boleh mengambil mudah dengan tidak melakukan saringan. Dalam keadaan sekarang Covid-19 mudah merebak seperti situasi dialami saya sendiri,” katanya.

Akui wanita itu, dirinya sendiri tiada masalah untuk membeli alat ujian kendiri tersebut namun berdepan kesukaran mendapatkan alat itu dengan harga murah.

“Susah nak dapat harga RM4.90 sekarang kerana cepat habis dan terpaksa membeli kit berharga RM10.

“Saya kena sentiasa ada kit kendiri di rumah untuk pemeriksaan berkala, tidak termasuk tambahan jika mahu pulang ke kampung,” katanya.

Tambahnya, sekurang-kurangnya sepuluh kit perlu dibeli untuk digunakan sebelum dan selepas pulang dari kampung.