Prosiding Raja Bomoh, Puteri Zaleha ditangguh lagi

Ibrahim ditemui media selepas prosiding kes ditangguhkan pada 25 April ini dan Puteri Zaleha (kiri) turut hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Ipoh.
Ibrahim ditemui media selepas prosiding kes ditangguhkan pada 25 April ini dan Puteri Zaleha (kiri) turut hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Ipoh.
A
A
A

IPOH - Prosiding kes membabitkan Ibrahim Mat Zin atau gelarannya Raja Bomoh yang disiasat atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam di Mahkamah Rendah Syariah Ipoh pada Rabu ditangguhkan.

Hakim Syarie Azman Saad membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Pendakwa Syarie, Suhaili Ishak untuk melanjutkan tempoh bagi melengkapkan siasatan sebelum mengemukakan pendakwaan.

"Saya sebenarnya berhasrat untuk tidak memanjangkan tempoh siasatan ini. Saya dengan ini membenarkan penangguhan dua bulan dan ini adalah tangguhan terakhir.

"Dilepaskan tidak bermaksud tidak didakwa cuma mengikut prosiding mahkamah, ini tangguhan terakhir tidak boleh lama-lama," katanya.

Azman kemudiannya menetapkan kes Ibrahim, 71, bersama seorang wanita, Suliaha Abdul Hamid, 62, yang dikenali sebagai 'Puteri Zaleha' akan disebut semula pada 25 April ini.

Pada masa sama, beliau membenarkan permohonan Suliaha untuk menukarkan penjamin baharu ekoran penjamin sebelum ini telah dijangkiti Covid-19 selain sukar untuk hadir ke mahkamah.

Sinar Harian melaporkan kedua-dua individu terbabit itu dibebaskan dengan wang jaminan RM3,000 dengan seorang penjamin dalam kalangan ahli keluarga pada bulan lalu.

Mereka disiasat di bawah Seksyen 16 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 di sebuah rumah di Taman Rapat Jaya 1, Ipoh sekitar jam 3.45 petang, 6 Januari lepas.

Artikel Berkaitan:

Siasatan ke atas kedua-duanya yang mempunyai hubungan sepupu itu dibuat susulan satu ritual menolak musibah banjir yang mereka lakukan di Dataran JPS di Teluk Intan. Video tersebut kemudian tular di media sosial.

Susulan video tular itu, Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) pada Rabu telah membuka kertas siasatan mengikut Seksyen 14 Enakmen Jenayah Syariah Perak 1992 atas kesalahan mencela dan menghina agama Islam serta Seksyen 16 enakmen sama kerana mengingkari Fatwa Jabatan Mufti Perak.