JAS Selangor tingkat penggunaan dron haba kesan pembakaran terbuka

JAS Selangor meningkatkan penggunaan teknologi dron haba di kawasan berisiko bagi mengesan aktiviti pembakaran terbuka di negeri berkenaan. Gambar kecil: Hee Loy Sian
JAS Selangor meningkatkan penggunaan teknologi dron haba di kawasan berisiko bagi mengesan aktiviti pembakaran terbuka di negeri berkenaan. Gambar kecil: Hee Loy Sian
A
A
A

SHAH ALAM - Jabatan Alam Sekitar (JAS) Selangor meningkatkan penggunaan teknologi dron haba di kawasan berisiko bagi mengesan aktiviti pembakaran terbuka di negeri berkenaan.

Exco Pelancongan, Alam Sekitar, Teknologi Hijau dan Hal Ehwal Orang Asli Selangor, Hee Loy Sian berkata, pengesanan pencemaran ditingkatkan bagi membendung aktiviti itu dilakukan ketika cuaca panas dan kering.

"Penurunan kuasa juga diberikan kepada pelbagai agensi termasuk polis, bomba dan pihak berkuasa tempatan (PBT) di bawah Perintah Kualiti Alam Sekeliling (Perwakilan Kuasa)(Penyiasatan Pembakaran Terbuka) 2000.

"Kita juga telah mengaktifkan pelan tindakan pencegahan pembakaran terbuka dan prosedur operasi standard (SOP) untuk melaksanakan program pencegahan kebakaran di tanah gambut," katanya kepada Sinar Harian pada Selasa.

Beliau berkata demikian mengulas langkah kerajaan negeri dan JAS Selangor dalam menangani aktiviti pembakaran terbuka yang dilaporkan kerap berlaku khususnya di kawasan perindustrian di negeri berkenaan sejak kebelakangan ini.

Pada Sabtu, JAS Selangor dalam kenyataan memaklumkan telah mengeluarkan kompaun berjumlah RM16,000 terhadap dua premis yang gagal menguruskan sisa dengan baik di kawasan perindustrian Petaling Jaya dan Sepang.

JAS menerusi kenyataan itu berkata, tindakan tersebut diambil ketika pasukan penguat kuasa JAS Selangor menjalankan rondaan dan siasatan aduan di sekitar kawasan perindustrian di Gombak, Petaling Jaya, Sepang dan Johan Setia.

Dalam pada itu, Loy Sian berkata, PBT turut diarahkan untuk memantau tapak pelupusan sampah bagi membanteras kewujudan tapak pembuangan sampah haram dengan kerjasama Jabatan Pengurusan Sisa Pepejal Negara (JPSPN) dan SWCorp serta Jabatan Kerajaan Tempatan (JKT).

Artikel Berkaitan:

Selain itu, Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) turut membantu bagi mendapatkan maklumat mengenai lokasi tapak-tapak pembuangan sampah haram melalui cerapan satelit MySA.

"Kita juga mengambil tindakan ke atas kes pembakaran terbuka di kawasan perumahan dan kejiranan di atas kesalahan kacau ganggu dan JKT telah mengeluarkan surat kepada semua PBT untuk meningkatkan penguatkuasaan termasuk di tapak pembinaan," katanya.

Malah, katanya, pihaknya terus memantau dengan rapi status kualiti udara dari 68 stesen automatik JAS selain mewujudkan Pasukan Pemantau Pencemaran (3P) yang terdiri daripada ahli-ahli Rakan Alam Sekitar di Selangor.

Tambahnya, larangan terhadap orang awam mengenai pembakaran terbuka dan kesan terhadap kesihatan mereka juga ditingkatkan melalui media sosial dalam bentuk e-poster, infografik dan video pendek.