KKR kaji penggunaan teknologi baharu tampal jalan berlubang

Abdul Rahman ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Isnin. - Foto Bernama
Abdul Rahman ketika sesi soal jawab pada Persidangan Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen, pada Isnin. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kementerian Kerja Raya (KKR) sedang mengkaji penggunaan teknologi baharu untuk tujuan penampalan jalan-jalan persekutuan yang berlubang bagi memastikan ia lebih tahan lama dan berkualiti.

Timbalan Menterinya, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, penggunaan bahan 'premix getah sekerap' adalah antara cadangan diterima pihak kementerian daripada syarikat berkaitan.

Katanya, hasil kajian yang dilakukan sebelum ini penggunaan premix getah sekerap adalah baik tetapi kosnya tinggi.

"Bagaimanapun, kita cuba melaksanakan dan ujian pertama dilakukan di Lojing, Gua Musang. Ia didapati memang baik (dari segi kualiti).

"Kita hendak tengok jangka hayat yang dijanjikan oleh syarikat yang memperkenalkan teknologi baharu berkenaan," katanya pada sesi pertanyaan-pertanyaan bagi jawab lisan di Dewan Rakyat di sini pada Isnin.

Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) yang bertanyakan sama ada kementerian akan memperkenalkan teknologi baharu supaya tampalan jalan lebih berdaya tahan dalam tempoh lima tahun akan datang sekali gus mengurangkan jumlah jalan berlubang.

Abdul Rahman menjelaskan, antara punca jalan kerap berlubang di kawasan tertentu adalah kerana ia dilalui oleh kenderaan yang melebihi muatan yang ditetapkan, iaitu 60 tan.

"Saya pernah bertanya (kepada pemandu) sebuah lori yang berhenti di tepi jalan. Dia kata, lebih kurang 100 tan kenderaan yang membawa muatan itu. Ini antara punca sebenarnya," ujarnya.

Beliau terdahulu memberitahu, sehingga April tahun ini sebanyak 2,138 lubang di jalan persekutuan di seluruh negara telah ditampal.

Kata beliau, pada 2022 pula, sebanyak 8,519 lubang di jalan persekutuan di Semenanjung ditampal.