Penyu: Terengganu arah Jabatan Perikanan perhebat penguatkuasaan

Seekor anak Penyu agar betina dianggarkan berusia dua tahun ditemukan dalam keadaan lemah dan terdampar di Pantai Pulau Kekabu, Marang pada 12 Februari lalu. -Foto: Bernama . (Gambar kecil : Dr Azman)
Seekor anak Penyu agar betina dianggarkan berusia dua tahun ditemukan dalam keadaan lemah dan terdampar di Pantai Pulau Kekabu, Marang pada 12 Februari lalu. -Foto: Bernama . (Gambar kecil : Dr Azman)
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Jabatan Perikanan Negeri Terengganu digesa memperhebat penguatkuasaan bagi mengekang penggunaan peralatan menangkap ikan yang melanggar undang-undang kerana ia menjadi satu daripada punca utama kematian penyu di negeri itu.

Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Pembangunan Desa Terengganu, Dr Azman Ibrahim berkata, penguatkuasaan perlu dilakukan secara lebih serius dan menyeluruh supaya kematian penyu terutama disebabkan terperangkap dalam pukat nelayan tidak berulang.

"Saya sudah arahkan Jabatan Perikanan Negeri Terengganu untuk melipatgandakan penguatkuasaan malah saya sendiri pernah turun ke laut ikut serta dalam operasi penguatkuasaan.

"Kerajaan negeri sangat tegas dalam perkara ini, sesiapa sahaja yang melakukan perbuatan menyalahi peraturan patut dihukum," katanya ketika dihubungi pada Isnin.

Difahamkan, sejak awal tahun ini, sebanyak 26 kes kematian penyu dilaporkan di Terengganu dengan spesies tertinggi ialah penyu agar.

Hasil kajian yang dilakukan Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang mendapati 45 peratus kematian penyu adalah akibat tersangkut pada pukat pari, 38 peratus terperangkap dalam pukat tunda dan bakinya disebabkan terkena kipas enjin bot dan termakan plastik.

Penggunaan saiz mata pukat yang dibenarkan Jabatan Perikanan Malaysia tidak boleh melebihi 25 sentimeter (10 inci), namun masih ramai nelayan tidak mengikut spesifikasi tersebut.

Mengulas lanjut, Dr Azman yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri Jabi berkata, selain tindakan penguatkuasaan, program meningkatkan kesedaran dalam kalangan nelayan perlu sentiasa diadakan.

Artikel Berkaitan:

Ditanya mengenai langkah diambil kerajaan negeri bagi memastikan spesies haiwan marin terancam itu dilindungi, Dr Azman berkata, sebanyak RM846,000 telah disalurkan untuk aktiviti pemuliharaan sepanjang tahun lepas dengan RM630,000 daripadanya daripada kerajaan negeri manakala bakinya daripada kerajaan pusat.

"Peruntukan ini merangkumi kos pengurusan dan pembangunan seperti bayaran upah pekerja, pembaikan kecil hatcheri, program gotong-royong, menyelenggara kemudahan di pusat santuari serta menaik taraf rumah pekerja di pusat pemuliharaan penyu," katanya.

Menurut Dr Azman, kerajaan negeri sangat serius dalam usaha pemuliharaan penyu dan ia juga dibuktikan melalui langkah mengharamkan penjualan telur penyu dan tuntung laut di negeri ini bermula 1 Jun depan.

"Kerana sayangkan penyu, kerajaan negeri pinda Enakmen Penyu 1951 dan pelbagai kempen kesedaran telah dibuat. Usaha ini memerlukan kerjasama semua pihak termasuk peniaga supaya tidak menjual manakala peminatnya tidak makan lagi telur penyu," katanya.

Beliau berkata, dengan pelbagai inisiatif dan peningkatan penguatkuasaan terhadap haiwan itu, diharapkan ikon pelancongan Terengganu tersebut mampu bertahan untuk warisan generasi akan datang. - Bernama