Ramai 'ahli nujum' ramal calon PN Parlimen Kuala Terengganu

Keputusan rasmi calon PN di kesemua 32 kerusi DUN di Terengganu dan kerusi Parlimen Kuala Terengganu akan diketahui pada majlis pengumuman calon di Dewan Tok Guru di Rusila, Marang pada 27 Julai ini. Gambar kecil: Ariffin
Keputusan rasmi calon PN di kesemua 32 kerusi DUN di Terengganu dan kerusi Parlimen Kuala Terengganu akan diketahui pada majlis pengumuman calon di Dewan Tok Guru di Rusila, Marang pada 27 Julai ini. Gambar kecil: Ariffin
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kehangatan pilihan raya negeri (PRN) memberi tempias kepada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu, apabila pelbagai pihak menjadi 'ahli nujum' meramalkan beberapa nama besar bakal bertanding di Parlimen berkenaan 12 Ogos ini.

Antara nama yang disebut-sebut ialah Pengerusi Muafakat Nasional (MN), Tan Sri Annuar Musa dan Naib Presiden Pas, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar yang juga Menteri Besar Terengganu.

Selain itu, wujud juga ramalan kononnya penyandang kerusi Parlimen itu, Datuk Ahmad Amzad Hashim bakal digugurkan daripada bertanding apabila kemenangannya dibatalkan Mahkamah Pilihan Raya negeri selepas pihak pempetisyen berjaya membuktikan wujud unsur rasuah ketika kempen pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) November tahun lalu.

Bagaimanapun, Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman menafikan perkara itu malah menyifatkan ia sekadar khabar angin dan cakap-cakap politik menjelang hari penamaan calon pada 29 Julai ini.

Katanya, keputusan rasmi bagi calon Perikatan Nasional (PN) yang akan bertanding di kesemua 32 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan satu kerusi Parlimen hanya akan diketahui pada majlis pengumuman calon di Dewan Tok Guru di Rusila, Marang pada 27 Julai ini.

"Setakat ini saya tiada maklumat dan tidak boleh sahkan siapa-siapa yang dicalonkan pada PRK atau PRN pada Ogos nanti.

"Kita tunggulah senarai nama calon yang akan diumumkan Presiden Pas (Tan Sri Abdul Hadi Awang) pada majlis pengisytiharan calon nanti," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Sebelum ini, nama bekas Ahli Parlimen Permatang Pauh, Nurul Izzah Anwar dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) disebut-sebut sebagai calon lawan di kerusi berkenaan, namun ternyata menyimpang selepas Pakatan Harapan (PH) mengumumkan bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Azan Ismail yang akan bertanding di kerusi berkenaan.

Ditanya mengenai calon PH yang dipertaruhkan di kerusi itu, Ariffin berkata, Pas tidak memandang remeh kelebihan pihak lawan.

"Kerusi Parlimen Kuala Terengganu dimenangi YB (Yang Berhormat) Amzad dengan majoriti yang tinggi iaitu lebih 40,000 undi.

"Jika tiada masalah dan beliau masih lagi dicalonkan di kerusi itu, kita yakin menang dengan undi yang lebih tinggi, mungkin juga boleh mencecah sehingga 70,000 majoriti," katanya.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Terengganu di sini membatalkan kemenangan Ahmad Amzad setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen tersebut.

Mahkamah turut memerintahkan responden membayar RM50,000 kepada pempetiseyen selain membenarkan penangguhan keputusan selama 14 hari bagi membolehkan responden membuat rayuan dan memfailkan permohonan rasmi pergantungan responden sebagai Ahli Parlimen.

Sebelum itu, UMNO Terengganu pada 3 Januari lalu memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan PRU15 Parlimen berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada PRU15 lalu, Ahmad Amzad yang juga bekas Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi berjaya mempertahankan kerusi Parlimen Terengganu yang dimenangi pada PRU14 dengan majoriti 40,907 undi.

Beliau mendapat 63,016 undi, mengetepikan tiga lagi pencabarnya iaitu Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad dari PH yang mendapat 10,946 undi; Datuk Mohd Zubir Embong dari Barisan Nasional (BN) dengan 22,109 undi dan calon Parti Pejuang Tanah Air (Pejuang), Mohamad Abu Bakar Muda (481 undi).

ARTIKEL BERKAITAN: Pas tidak buat rayuan keputusan petisyen pilihan raya Parlimen Kuala Terengganu

Kemenangan Ahmad Amzad di Parlimen Kuala Terengganu dibatal

UMNO Terengganu fail petisyen batal keputusan PRU15 di tiga kerusi Parlimen

PRU15: Ahmad Amzad menang besar di Kuala Terengganu

Calon Parlimen Kuala Terengganu sedang diteliti - Ahmad Samsuri

Pas Terengganu umum calon PRN, PRK 27 Julai

Amanah pelik Pas tak kemuka rayuan keputusan Kuala Terengganu

Dewan Rakyat dimaklum kekosongan kerusi Kuala Terengganu