Beri peluang wakil kerajaan menang di Kuala Terengganu - Azan

Azan - Foto fail Bernama
Azan - Foto fail Bernama
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Kemenangan calon Pakatan Harapan (PH) pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kuala Terengganu disifatkan penting dalam memastikan sekurang-kurangnya ada seorang wakil rakyat daripada Kerajaan Perpaduan dari negeri itu.

Ketua Cabang Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kuala Terengganu, Azan Ismail yang dicalonkan bertanding di kerusi itu berkata, kemenangan calon PH sekali gus dapat melancarkan urusan penyelarasan antara kerajaan negeri dan persekutuan.

"Kesemua Parlimen di Terengganu tidak ada satu pun wakil dari Kerajaan Perpaduan. Jadi, kita harap rakyat beri peluang pada wakil Kerajaan Perpaduan untuk memenangi kerusi di Parlimen berkenaan.

"Banyak perkara kita perlu buat di Terengganu yang tertangguh dan harap benda ini diberi tumpuan. Saya cuba sedaya upaya bantu masalah dihadapi rakyat selain mahu suarakan isu mengenai keperluan di Terengganu.

"Jadi ia lebih berkesan apabila saya yang mewakili parti dalam Kerajaan Perpaduan dapat memenangi kerusi Parlimen tersebut. Saya berpendapat, peluang ini tidak sepatutnya dilepaskan," katanya ketika dihubungi Sinar Harian pada Isnin.

Dalam pada itu, Azan yang juga bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bandar berkata, beliau optimis untuk memenangi PRK Kuala Terengganu, namun memerlukan sokongan yang padu daripada rakan komponen dalam Kerajaan Perpaduan terutama daripada UMNO dan Parti Amanah Negara (Amanah).

Jelasnya, keputusan untuk meletakkan calon daripada PKR telah dipersetujui oleh kepimpinan tertinggi dari parti dalam Kerajaan Perpaduan.

Justeru, Azan yang juga bekas Ahli Parlimen Indera Mahkota, Pahang itu memaklumkan beliau akan berusaha memenangi kerusi tersebut menerusi hasil kerjasama dan sokongan kuat daripada semua pihak.

"Saya mengharapkan sokongan akar umbi UMNO dan BN (Barisan Nasional). Memang tanpa mereka kita tidak boleh buat apa sebab itulah keperluan utama sokongan, kerjasama dan kerja kuat daripada UMNO bantu kita hadapi PRK ini.

"Selain itu sokongan daripada parti dalam PH itu sendiri dan semua pihak termasuk badan bukan kerajaan (NGO). Insya-ALLAH, saya yakin sokongan dan bantuan daripada mereka dapat memastikan dalam usaha memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu," jelas beliau.

Pada 27 Jun lalu, Mahkamah Pilihan Raya Kuala Terengganu membatalkan kemenangan Ahli Parlimen Pas, Datuk Ahmad Amzad Hashim pada Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) lalu setelah mendapati wujud unsur rasuah ketika tempoh kempen pilihan raya bagi Parlimen tersebut.

UMNO Terengganu pada 3 Januari lalu memfailkan petisyen bagi membatalkan keputusan PRU15 Parlimen berkenaan di Mahkamah Tinggi di sini mengikut Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954.

Pada 18 Julai lalu, Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) memaklumkan hari mengundi PRK P036 Kuala Terengganu diadakan serentak dengan Pilihan Raya Negeri (PRN) 12 Ogos ini.

Susulan itu, Presiden PKR yang juga Pengerusi PH, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengumumkan Azan sebagai calon PH yang akan bertanding bagi PRK Parlimen Kuala Terengganu.

Pada PRU15, Ahmad Amzad dari Pas memenangi kerusi Parlimen Kuala Terengganu selepas memperoleh 63,016 undi sekali gus menewaskan calon Barisan Nasional, Mohd Zubir Embong (22,109 undi), calon Parti Pejuang Tanah Air, Mohamad Abu Bakar Muda (481 undi) dan calon PH, Raja Datuk Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad Shah (10,946 undi).