Piala Dunia: Antara realiti dan khayalan

Kim Pan-gon. - Foto FAM
Kim Pan-gon. - Foto FAM
A
A
A

PENGENDALI baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon tampil buat kali pertama dalam sidang media di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.

Jurulatih kelahiran Korea Selatan itu tampak bersemangat untuk memulakan cabaran baharu di bumi Malaysia. Pelbagai perancangan berada dalam minda bekas pengendali skuad kebangsaan Hong Kong itu.

Sesuatu menarik perhatian kira-kira 20 orang pengamal media yang hadir sudah pasti terarah kepada sasarannya membawa Harimau Malaya beraksi di pentas Piala Dunia suatu hari nanti.

Seperti sudah dijangka, sasaran itu mendapat perhatian peminat, penyokong, penganalisis mahupun pengkritik bola sepak Malaysia.

Seolah-olah sengaja mahu memberi ‘bola tanggung', pelbagai reaksi spontan dan sinis dilontarkan mereka sehingga ada yang menggelarkan Pan-gon tak ubah seperti watak utama dalam cerita rakyat pada zaman dahulu - Angan-angan Mat Jenin.

Bagi mereka, impian Pan-gon itu terlalu tinggi dan sukar untuk direalisasi. Tetapi ada juga peminat dan penyokong tempatan percaya bukan mustahil Harimau Malaya menjejakkan kaki di pentas Piala Dunia suatu hari nanti.

Tak salah jika Pan-gon meletakkan keazaman tinggi dalam mengembalikan semula ‘ngauman' Harimau Malaya. Cuma dalam situasi sekarang, Pan-gon harus realistik. Memang benar, Pan-gon sudah menetapkan satu penanda aras untuk membawa Harimau Malaya ke satu peringkat. Itu harus diberi pujian.

Cuma, Pan-gon mempunyai banyak ‘kerja rumah' yang perlu disiapkan sebelum menghadapi ujian sulung iaitu Pusingan Ketiga Kelayakan Piala Asia 2023 pada Jun depan. Layak secara merit ke Piala Asia 2023 sudah boleh dianggap pencapaian hebat buat Pan-gon.

Tetapi jika gagal, Pan-gon mempunyai satu lagi talian hayat bagi membuktikan kemampuannya. Piala AFF atau digelar Piala Dunia Asia Tenggara pada hujung tahun ini sekali lagi menentukan untung nasibnya.

Jika di pentas Asia Tenggara pun Harimau Malaya tersungkur, Pan-gon harus bersedia menerima ‘serangan' daripada segenap penjuru. Jadi dua tugasan itu penting buat Pan-gon sebelum beliau boleh berkira-kira membawa Harimau Malaya ke pentas Piala Dunia.

Artikel Berkaitan: