Pan-gon panggil Faisal Halim

Faisal Halim
Faisal Halim
A
A
A

PENGENDALI pasukan negara, Kim Pan-gon tetap menyenaraikan tonggak sensasi Selangor FC, Faisal Halim dalam kem latihan pusat skuad Harimau Malaya bagi menghadapi dua perlawanan antarabangsa bertemu Syria dan China pada 6 dan 9 September di Chengdu, China.

Sebelum ini, Faisal telah digantung perlawanan selama sebulan oleh Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) bermula 25 Julai hingga 23 Ogos susulan kenyataan yang dikeluarkannya ketika temu bual media selepas berdepan Sabah, April lalu.

Ia sekali gus menyaksikan Faisal terlepas tiga aksi Liga Super serta dua perlawanan Piala Malaysia dan menimbulkan persoalan mengenai peluangnya membarisi skuad negara pada perlawanan antarabangsa itu.

Dalam pada itu, Pan-gon mengekalkan seramai 15 daripada 26 pemain yang telah dipanggil pada kem latihan di Kuala Terengganu pada Jun lalu.

"Baki 11 pemain lain terdiri daripada tujuh pemain dari kem latihan Mac yang tiada ketika kem latihan Jun iaitu kapten pasukan, Dion Cools, dua penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz Mat Rowi dan Damien Lim, Darren Lok, Quentin Cheng, Brendan Gan dan Nor Azam Abdul Azih.

"Tiga pemain dari skuad Piala AFF 2022 - Sharul Nazeem Zulpakar, Sergio Aguero dan Nur Shamie Iszuan Amin serta Nathaniel Shio Hong Wan yang kembali dipanggil untuk kali pertama, tahun ini.

"Seramai 20 pemain pula diletakkan dalam senarai bersedia," kata FAM dalam satu kenyataan pada Rabu.

Kem latihan pusat skuad negara akan bermula Selasa depan.

Artikel Berkaitan: