'Saya suka cabaran'

Ketua Jurulatih baharu Skuad Harimau Malaya Kim Pan Gon selepas sidang media memperkenalkan jurulatih baharu Skuad Harimau Malaya di Wisma FAM Kelana Jaya pada Khamis. - Foto Bernama
Ketua Jurulatih baharu Skuad Harimau Malaya Kim Pan Gon selepas sidang media memperkenalkan jurulatih baharu Skuad Harimau Malaya di Wisma FAM Kelana Jaya pada Khamis. - Foto Bernama
A
A
A

PENGENDALI baharu Harimau Malaya, Kim Pan-gon mengakui tidak gentar dengan cabaran yang bakal dilaluinya sebaik memulakan tugasnya secara rasmi pada Khamis.

Menurut Pan-gon, beliau bersedia dengan amanah dan kepercayaan yang diberikan kepadanya untuk membawa Harimau Malaya kembali disegani di pentas antarabangsa.

"Saya suka cabaran dan sebagai jurulatih kebangsaan, ia akan datang dengan tekanan tinggi. Setiap rakyat dari seluruh negara fokus kepada skuad kebangsaan.

"Jadi ia menjadi satu cabaran yang saya ambilnya dengan positif. Saya pikul tugas ini dan anggap ia penghargaan terbesar yang mana tak semua (jurulatih) sanggup ambil cabaran ini," katanya.

Beliau berkata demikian dalam sidang media pertamanya selaku pengendali baharu Harimau Malaya di Wisma FAM, Kelana Jaya pada Khamis.

Dalam sidang media itu, Pan-gon telah mengumumkan senarai barisan kejurulatihan Harimau Malaya yang baharu iaitu Pau Marti Vicente (penolong jurulatih), Cho Junho (jurulatih penjaga gol), Dr. Gokhan Kandemir (jurulatih kecergasan) dan Lim Jaehun (jurulatih analisis prestasi).

Seorang lagi penolong jurulatih iaitu dalam kalangan jurulatih tempatan akan dinamakan kemudian oleh Pan-gon dalam masa terdekat selepas beliau membuat penilaian akhir terhadap beberapa calon.

Dalam pada itu, Pan-gon berkata, beliau akan membentuk Harimau Malaya berdasarkan falsafahnya tersendiri biarpun mula dibandingkan dengan dua rakan senegaranya - Shin Tae-yong dan Park Hang-seo yang masing-masing membimbing Indonesia dan Vietnam.

Artikel Berkaitan:

"Secara peribadi, saya sangat mengenali dua jurulatih Korea itu yang menunjukkan prestasi baik di Asia Tenggara dan saya sangat menghormati mereka.

"Tapi saya adalah diri saya dan akan membentuk sejarah bola sepak di sini selain mahu membawa keputusan yang positif untuk rakyat Malaysia," jelasnya.