X

Kindly register in order to view this article
!

Selasa | 28 Jun 2022

Jangan tangguh ambil dos penggalak, vaksin Covid-19 kanak-kanak

Masyarakat diminta tidak lagi menangguhkan pengambilan dos suntikan vaksin penggalak dan juga vaksin Covid-19 untuk golongan kanak-kanak seperti disarankan kerajaan. - Gambar hiasan 123rf
A
A

SHAH ALAM - Perkembangan situasi pandemik Covid-19 di negara ini setakat Sabtu memberi signal jelas agar masyarakat tidak lagi menangguhkan pengambilan dos penggalak dan juga vaksin Covid-19 untuk golongan kanak-kanak seperti yang disarankan kerajaan.

Ia susulan pendedahan dibuat oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin bahawa Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob telah memberi masa dua minggu kepada beliau dan Kementerian Kesihatan (KKM), untuk menyediakan garis panduan bagi pembukaan sempadan negara.

Khairy dilaporkan berkata, awal suku tahun kedua tahun ini merupakan garis masa realistik untuk pembukaan semula sempadan negara.

Namun katanya, tidak bermakna sempadan negara akan dibuka dalam masa dua minggu lagi, kerana perkara itu perlu dibincangkan di beberapa peringkat terlebih dahulu.

Bagaimanapun, penulis berpandangan, perkembangan ini boleh dijadikan asas kukuh untuk masyarakat membuat persediaan berdepan kemungkinan risiko jangkitan Covid-19 yang lebih tinggi sekiranya sempadan negara dibuka kelak, dengan mengambil dos suntikan vaksin seperti disarankan.

Dalam perkembangan berkaitan, Khairy turut menegaskan KKM masih kekal dengan ketetapan bahawa penerima vaksin Sinovac perlu mendapatkan suntikan dos penggalak sebelum 1 Mac ini bagi memastikan mereka kekal dengan status lengkap divaksin.

Kenyataan itu sebagai renspon kepada kenyataan dibuat Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) yang berpandangan pengambilan dua dos suntikan bagi sebarang vaksin Covid-19 sudah lengkap vaksinasi.

Ujar beliau, setakat ini kementerian masih terbuka untuk menerima apa sahaja pandangan, namun arahan semasa berkaitan penerima vaksin Sinovac kekal.

Sementara itu, pendedahan bahawa terdapat tujuh kes maut membabitkan kanak-kanak akibat sindrom keradangan pelbagai sistem (MIS-C) iaitu kesan serius Covid-19 yang dibuat Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah juga perlu diberi perhatian serius.

Dr Noor Hisham berkata, jumlah itu daripada 174 kes MIS-C yang dikenal pasti oleh MIS-C Malaysia Study Group di mana sebanyak 57 peratus daripada keseluruhan kes adalah dalam kalangan kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun.

"MIS-C adalah salah satu penyakit yang serius akibat jangkitan Covid-19 dalam kalangan kanak-kanak. Walaupun ia jarang berlaku, namun MIS-C ini boleh membawa bahaya dan maut.

"Sejumlah besar daripada kanak-kanak ini memerlukan rawatan kritikal di Unit Rawatan Rapi Pediatrik (PICU). Tujuh kes telah disahkan meninggal dunia," katanya seperti yang dilaporkan pada Sabtu.

Justeru, beliau mengingatkan orang ramai agar mendapatkan vaksin Covid-19 untuk anak-anak yang berumur lima hingga 11 tahun dengan segera.


Jangan lupa follow kami di Instagram, Telegram dan TikTok
Dapatkan laporan yang lebih eksklusif dan kritis, sila layari Sinar Premium
Artikel ini ialah © 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!