Kes Ebit Lew: Jangan buat sebarang provokasi, spekulasi

Abd Jalil
Abd Jalil
A
A
A

SHAH ALAM - Biar undang-undang dilaksanakan dengan seadilnya, itu ingatan Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan kepada orang ramai berhubung kes melibatkan pendakwah terkenal, Ebit Lew.

Abd Jalil berkata, sebarang provokasi mahupun spekulasi akan mengganggu prosiding di mahkamah.

"Saya nasihatkan orang ramai jangan membuat sebarang provokasi atau spekulasi berhubung pendakwaan kes itu bagi mengelak prosiding di mahkamah terganggu.

"Kita serahkan kepada pihak mahkamah untuk tentukan kes ini, biar undang-undang dilaksanakan dengan seadil-adilnya," katanya kepada Sinar Harian pada Sabtu.

Sebelum ini, Abd Jalil berkata, siasatan yang dijalankan merangkumi pelbagai sudut termasuk kemungkinan berunsur fitnah.

"Kita membuat siasatan daripada pelbagai sudut selain daripada di bawah seksyen tersebut, kita juga melihat sama ada terdapat unsur fitnah atau tidak.

"Tetapi di akhir siasatan kita setelah dikumpulkan bukti yang nyata, inilah hasilnya tindakan-tindakan yang dibuat pada hari ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom, pada Jumaat.

Abd Jalil berkata, hasil siasatan dan berdasarkan bukti-bukti yang nyata, pendakwaan terhadap pendakwah bebas itu diteruskan.

Artikel Berkaitan:

"PDRM mengesahkan Ebit Lew telah dituduh di Mahkamah Majistret Tenom dengan sebanyak 11 pertuduhan telah dibuat terhadapnya di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

"Pertuduhan itu ialah membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah melalui aplikasi WhatsApp dengan maksud mengaibkan dan kesemua pertuduhan berlaku di Tenom antara Mac 2021 hingga Jun 2021 terhadap seorang wanita," katanya.

Pada Jumaat, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, dihadapkan ke Mahkamah Litar, Tenom, atas 11 pertuduhan membabitkan gangguan seksual.

Bagaimanapun, beliau tidak mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan terhadapnya.