Siasatan terhadap Ebit Lew dilakukan dari pelbagai sudut

Abd Jalil pada sidang media di IPD Tenom.
Abd Jalil pada sidang media di IPD Tenom.
A
A
A

TENOM - Proses pendakwaan terhadap pendakwah terkenal, Ebit Lew dilakukan selepas siasatan dilakukan secara menyeluruh oleh pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM).

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd Jalil Hassan berkata, siasatan yang dijalankan turut merangkumi pelbagai sudut termasuk kemungkinan berunsur fitnah.

"Kita membuat siasatan daripada pelbagai sudut selain daripada di bawah seksyen tersebut, kita juga melihat sama ada terdapat unsur fitnah atau tidak.

"Tetapi di akhir siasatan kita setelah dikumpulkan bukti yang nyata, inilah hasilnya tindakan-tindakan yang dibuat pada hari ini," katanya pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tenom, pada Jumaat.

Abd Jalil berkata, hasil siasatan dan berdasarkan bukti-bukti yang nyata, pendakwaan terhadap pendakwah bebas itu diteruskan.

"PDRM hari ini mengesahkan Ebit Lew telah dituduh di Mahkamah Majistret Tenom dengan sebanyak 11 pertuduhan telah dibuat terhadapnya di bawah Seksyen 509 Kanun Keseksaan.

"Pertuduhan itu ialah membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah melalui aplikasi WhatsApp dengan maksud mengaibkan dan kesemua pertuduhan berlaku di Tenom antara Mac 2021 hingga Jun 2021 terhadap seorang wanita," katanya.

Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai tidak membuat sebarang provokasi atau spekulasi berhubung pendakwaan kes itu bagi mengelak prosiding di mahkamah terganggu.

Artikel Berkaitan:

"Biar undang-undang dilaksanakan dengan seadil-adilnya kepada mereka yang dituduh dan juga kepada pengadu. Kita serahkan kepada pihak mahkamah untuk tentukan kes ini," katanya.

Sebelum itu, Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Ibrahim Lew, 38, dihadapkan ke Mahkamah Litar, Tenom, atas 11 pertuduhan membabitkan gangguan seksual.

Bagaimanapun, beliau tidak mengaku bersalah terhadap kesemua pertuduhan terhadapnya.