PICKids: Hospital UCSI tawar 500 dos vaksin

Ibu bapa membuat pendaftaran anak-anak sebelum menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital UCSI.
Ibu bapa membuat pendaftaran anak-anak sebelum menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital UCSI.
A
A
A

PORT DICKSON - [DIKEMAS KINI] Hospital UCSI menawarkan 500 dos vaksin setiap minggu menerusi Program Imunisasi Covid-19 untuk Kanak-kanak (PICKids) di negeri ini bermula Sabtu.

Pengarah perubatan dan pakar kanak-kanak Hospital UCSI, Profesor Dr Amaludin Ahmad berkata, ramai ibu bapa dan kanak-kanak hadir lebih awal daripada waktu janji temu pemberian vaksin pada hari pertama PICKids.

Menurutnya, setiap janji temu akan berlangsung pada hari Rabu, Sabtu dan Ahad setiap minggu bermula jam 9 pagi hingga 5 petang.

“Seramai 107 kanak-kanak sudah selesai menerima dos pertama dan Hospital UCSI merupakan hospital swasta pertama yang menawarkan PICKids di Negeri Sembilan pada masa ini,” katanya kepada pemberita di hospital berkenaan pada Sabtu.

Media sebelum ini melaporkan PICKids disasarkan kepada 4.1 juta kanak-kanak dilaksanakan bermula di Lembah Klang sebelum ia diperluaskan secara berperingkat ke seluruh negara.

Wei Nam bersama anaknya, Xun Ben yang menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital UCSI.
Wei Nam bersama anaknya, Xun Ben yang menerima suntikan vaksin Covid-19 di Hospital UCSI.

Sementara itu, rata-rata ibu bapa menyuarakan perasaan lega apabila anak-anak mereka berusia lima hingga 11 tahun sudah selesai menerima dos pertama vaksin Covid-19.

Pengurus IT, Chok Wei Nam, 51 berkata, sebagai bapa beliau mahu anaknya selamat dan dilindungi daripada wabak.

"Prosesnya sangat lancar walaupun ini adalah hari pertama, malah anak saya (Chik Xun Ben) yang berusia sembilan tahun begitu teruja untuk mendapatkan vaksin," katanya.

G Ragu, 47, pula berkata, beliau yakin anaknya dalam keadaan baik dan vaksin yang digunakan ketika ini terbukti selamat, malah merupakan perlindungan terbaik.
Artikel Berkaitan:


"Saya menyeru semua ibu bapa supaya tidak melengahkan vaksinasi anak-anak untuk kebaikan mereka dan jangan dengar maklumat atau mesej tular yang tidak tepat berkaitan vaksin," katanya.