MEF mahu KSM urus pengambilan, pengurusan pekerja asing

Gambar hiasan
Gambar hiasan
A
A
A

KUALA LUMPUR - Persekutuan Majikan-Majikan Malaysia (MEF) mencadangkan supaya pengambilan dan pengurusan pekerja asing termasuk pekerja domestik warga asing diletakkan di bawah satu kementerian bagi meningkatkan kecekapan dan keberkesanan perniagaan itu.

Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman berkata, mandat berkenaan perlu diberikan kepada Kementerian Sumber Manusia (KSM) yang berfungsi sebagai kementerian sehenti untuk mentadbir dan menguruskan pengambilan pekerja asing melalui 'Sistem Satu Saluran'.

"KSM boleh mendapatkan semua syarat yang diluluskan dan bukannya penglibatan merentas kementerian yang membuang terlalu banyak masa melibatkan birokrasi serta kos tambahan. Kami yakin KSM sebagai penjaga kepada tenaga buruh asing dengan majikan dan kesatuan sekerja, sepatutnya menjadi Kementerian sehenti," katanya dalam satu kenyataan pada Khamis.

Syed Hussain juga yakin KSM yang mengawal selia pekerja asing dan mempunyai kapasiti penguatkuasaan mencukupi untuk menguruskan isu itu sebagai pusat sehenti, akan dapat menyelesaikan kebanyakan isu mengenai pengambilan dan pengurusan pekerja asing.

"Disebabkan pembekuan pengambilan pekerja asing dan tiada upaya untuk menggantikan pekerja yang Pas Lawatan Sementara (PLKS) mereka telah tamat tempoh sejak dua tahun lepas, majikan menghadapi masalah kekurangan pekerja yang serius. Perniagaan ini rugi sehingga mencecah nilai berbilion ringgit dan semakin lama kita tunggu, semakin banyak kita akan rugi.

"Sebagai contoh, ladang kelapa sawit berdepan isu kekurangan tenaga pengait/pemetik buah yang serius sehingga mengakibatkan peladang kehilangan hasil melebihi RM1 bilion sebulan dan pendapatan kerajaan juga terjejas akibat kehilangan hasil minyak sawit. Industri minyak sawit Malaysia mungkin tidak mampu bersaing dengan negara jiran melihat kepada kos jualan dan pembaziran yang lebih tinggi,” katanya.

Justeru, Syed Hussain mengesa kerajaan agar segera menangani isu kekurangan lebih 75,000 pekerja dalam sektor perladangan.

Beliau juga mendakwa, walaupun kerajaan telah meluluskan pengambilan 32,000 pekerja asing baharu pada September 2021, namun sehingga kini pekerja tersebut masih belum berada di Malaysia.

Artikel Berkaitan:

Syed Hussain juga berkata bahawa sektor pembinaan di negara ini menghadapi kekurangan pekerja yang serius menyebabkan beberapa projek pembinaan utama tidak berjalan mengikut jadual.

"Kekurangan pekerja memberi impak teruk terhadap pengeluaran terutamanya bagi Industri E&E (elektrik dan elektronik), mengganggu rantaian bekalan dan operasi perniagaan sehingga mengakibatkan kelewatan dan tidak dapat memenuhi tempahan baharu daripada pembeli tempatan dan asing," katanya. - Bernama