'Wacana Melayu, Islam dalam masyarakat majmuk perlu diangkat'

Amirudin Shari (dua dari kiri) menyerahkan replika cek bernilai RM1 juta kepada Mohammad Redzuan (kanan) sambil disaksikan Anwar (dua dari kanan) pada Pelancaran Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddinq Fadzil dan pelancaran buku di sini pada Khamis. Foto Bernama
Amirudin Shari (dua dari kiri) menyerahkan replika cek bernilai RM1 juta kepada Mohammad Redzuan (kanan) sambil disaksikan Anwar (dua dari kanan) pada Pelancaran Institut Pemikiran dan Kepimpinan Siddinq Fadzil dan pelancaran buku di sini pada Khamis. Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Wacana mengenai Melayu dan Islam dalam konteks masyarakat majmuk perlu diangkat bagi memberikan kefahaman yang betul khususnya terhadap orang Melayu dalam hubungannya bersama kaum lain di dalam negara.

Pengerusi Emeritus, Institut Antarabangsa Pemikiran Islam (IIIT) yang juga Ahli Parlimen Port Dickson, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, wacana itu sangat penting untuk dibincangkan bagi membolehkan rakyat termasuk generasi muda untuk meningkatkan kefahaman mereka mengenai perkara tersebut

Beliau berkata, isu tersebut juga merupakan perkara utama disentuh cendekiawan negara, Allahyarham Datuk Dr Siddiq Fadzil dalam pemikirannya mengenai budaya Melayu di Malaysia.

“Siddiq menjelaskan untuk mengukuhkan kedudukan sebagai Melayu, semangat Melayu itu tidak harus meremehkan budaya dan pandangan kaum lain.

“Kalau kita baca kupasan Siddiq, menjadi seorang Muslim yang baik dan orang Melayu yang mengakar ke bumi Melayu itu juga menjadikan seseorang itu warga negara Malaysia yang berjaya dan pada masa sama ada kecintaan kemanusiaan yang mendalam,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Majlis pelancaran Kursi Siddiq Fadzil dan Institut Pemikiran Dan Kepimpinan Siddiq Fadzil yang dirasmikan oleh Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari di Dewan Pro Canselor, Universiti Selangor (Unisel), Kampus Shah Alam, Seksyen 7, di sini, pada Khamis.

Turut hadir Ahli Parlimen Pandan, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan Presiden merangkap Naib Canselor Unisel, Profesor Datuk Dr Mohammad Redzuan Othman.

Mengulas lanjut, Anwar berkata, pemikiran budaya Melayu di Malaysia yang ditekankan oleh Siddiq itu turut menyentuh soal kesedaran kebudayaan dan penguasaan bahasa.

Artikel Berkaitan:

Anwar ketika ketika berucap pada Majlis pelancaran Kursi Siddiq Fadzil dan Institut Pemikiran Dan Kepimpinan Siddiq Fadzil di Unisel, Kampus Shah Alam, pada Khamis.
Anwar ketika ketika berucap pada Majlis pelancaran Kursi Siddiq Fadzil dan Institut Pemikiran Dan Kepimpinan Siddiq Fadzil di Unisel, Kampus Shah Alam, pada Khamis.

Jelas Anwar, meskipun Siddiq bukan individu yang mempelopori usaha pencerahan dalam kesedaran Islam dan Melayu, namun beliau berpandangan Siddiq masih merupakan antara pemikir Melayu utama pada masa kini yang menyambung kesinambungan pemikir besar bangsa yang terdahulu.

“Keunikan Siddiq itu adalah keupayaan menyampai dan menggali kesemua khazanah ini (Melayu dan Islam) dan mengadunkannya serta mengingatkan kepada bangsa melayu, sarjana, cendekiawan dan anak muda sekarang bahawa soal jati diri itu harus kukuh,” katanya.

Dalam pada itu, Amirudin berkata, meskipun Siddiq tampil sebagai seorang sosok pemikir Melayu, namun bekas Presiden Angkatan Belia Islam Malaysia (ABIM) itu tidak pernah dibingkaikan sebagai seorang intelektual yang rasis.

"Siddiq dilihat sentiasa menganjurkan sikap dan keperibadian positif yang harus dicerna di samping menonjolkan usaha yang mampu islam dan hati nurani Melayu.

“Walaupun wacananya Melayu, tetapi konteksnya adalah global dan tidak keluar daripada kerangka dan maqasid syariah dan dalam masa sama menjamin ketenteraman serta kebahagiaan hidup masyarakat majmuk,” katanya.

Amirudin ketika berucap pada Majlis pelancaran Kursi Siddiq Fadzil dan Institut Pemikiran Dan Kepimpinan Siddiq Fadzil di Unisel, Kampus Shah Alam, pada Khamis.
Amirudin ketika berucap pada Majlis pelancaran Kursi Siddiq Fadzil dan Institut Pemikiran Dan Kepimpinan Siddiq Fadzil di Unisel, Kampus Shah Alam, pada Khamis.

Amirudin berkata, beliau percaya penubuhan institusi pemikiran dan Kursi Sidiq Fadzil itu bakal memberikan impak besar dalam usaha membetulkan pemikiran rakyat di dalam negara terhadap isu masyarakat majmuk di Malaysia yang sering menimbulkan kebimbangan.

Amirudin memaklumkan pihaknya telah berbincang bersama Pemerbadanan Menteri Besar (MBI) Selangor untuk menyediakan peruntukan tambahan sebanyak RM4 juta kepada institusi baharu itu itu di samping RM1 juta yang telah diperuntukkan dalam Bajet negeri baru-baru ini.