'Bincang kepentingan perpaduan kaum Melayu Islam' - Abdul Hadi

Abdul Hadi
Abdul Hadi
A
A
A

SHAH ALAM - Presiden Pas, Tan Sri Abdul Hadi Awang menjelaskan pertemuan bersama bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini adalah bagi membincangkan kepentingan perpaduan kaum Melayu Islam sebagai majoriti penduduk asal negara dan majoriti masyarakat majmuk.

Ahli Parlimen Marang itu berkata, meskipun bekas Ahli Parlimen Langkawi itu banyak berkhilaf dengan Pas, namun banyak titik persamaan yang wajib diambil kira dan bersatu menunaikan kewajiban agama, bangsa serta negara bersama Islam.

“Diadakan pertemuan dan perbincangan bersama mantan Perdana Menteri Malaysia, Tun Dr. Mahathir Mohamad, seorang negarawan yang telah berpolitik dalam tempoh masa yang sangat panjang dan banyak pengalamannya sejak zaman penjajah sehingga negara mencapai kemerdekaan.

“Malah, beliau juga pernah dua kali menjadi Perdana Menteri.

“Maka, perlu dijelaskan perbezaan antara semangat kebangsaan yang dijadikan ideologi dengan konsep kebangsaan yang menjadi fitrah manusia mengikut ketetapan Allah SWT dan peranannya dalam melaksanakan kehidupan bermasyarakat,” katanya kepada Sinar Harian pada Khamis.

Pada Rabu, Abdul Hadi dan beberapa pemimpin parti itu telah menyatakan sokongan terhadap Proklamasi Orang Melayu yang diasaskan oleh Dr Mahathir.

Perkara tersebut didedahkan pembantu bekas Ahli Parlimen Langkawi iaitu Abu Bakar Yahya melalui hantaran di Facebooknya pada Rabu.

Dalam pada itu, ujar Abdul Hadi, Pas menyeru pemimpin Melayu Islam untuk menyatukan kaumnya dengan meletakkan kuasa politik ke landasan yang betul dalam keadaan kaum Melayu tidak fanatik perkauman.

“Kalau dibiarkan, Melayu akan bertindak salah juga dengan semangat fanatik perkauman yang berlaku secara automatik tanpa dikawal.

“Oleh itu, menjadi suatu kesilapan besar kepada kaum Cina bukan Islam yang memilih parti yang ekstrem seperti DAP yang tidak peduli demi kebaikan mereka sendiri dalam masyarakat majmuk.

“Kesilapan dan berdosa besar bagi orang Melayu Islam yang berpecah belah dengan niat yang salah, apabila dengan sebabnya telah melemahkan kuasa politik kaum Melayu Islam yang wajib memimpin negara,” ujarnya.