Jangan tangguh bawa anak suntik vaksin

Gambar hiasan. (Gambar kecil) Siti Shamila
Gambar hiasan. (Gambar kecil) Siti Shamila
A
A
A

BERMULA 3 Februari lalu kerajaan melaksanakan Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids) untuk kanak-kanak berumur lima hingga 11 tahun bagi melindungi golongan itu daripada jangkitan Covid-19.

Program yang menyasarkan 3.6 juta kanak-kanak itu bertujuan untuk memastikan risiko jangkitan di sekolah dapat dibendung, sekali gus mengelak kluster dalam kalangan murid.

Setakat Selasa, seramai 246,869 atau tujuh peratus populasi kanak-kanak telah menerima dos pertama vaksin Covid-19. Syabas kepada ibu bapa yang bersetuju agar anak mereka diberi suntikan vaksin.

Walaupun ramai ibu bapa yang tampil mendaftarkan anak masing-masing mendapatkan suntikan vaksin, namun masih ada ragu-ragu untuk berbuat demikian dan antara negeri yang mencatatkan rekod rendah ialah Kelantan, Melaka serta Sabah.

Setakat Ahad, Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan (JKNK) merekodkan hanya 5,000 daripada hampir 115,000 kanak-kanak berusia lima hingga 11 tahun menerima suntikan vaksin Covid-19 walaupun 400 Pusat Pemberian Vaksin (PPV) disediakan di seluruh negeri.

Pengarah JKNK, Datuk Dr Zaini Hussin tidak menolak kemungkinan ramai kalangan ibu bapa yang masih tidak berbuat demikian kerana mengambil pendekatan tunggu dan lihat.

Begitu juga di Sabah, hanya 32,186 kanak-kanak atau 10 peratus daripada jumlah keseluruhan 411,400 kanak-kanak yang layak menerima vaksin Covid-19 mendaftar melalui aplikasi MySejahtera.

Penulis faham, siapa tidak sayangkan anak. Semua ibu bapa pasti inginkan yang terbaik untuk anak mereka. Namun, harus diingat dalam situasi sekarang, bukan masanya untuk kita tunggu dan lihat kerana serangan Covid-19 di seluruh dunia masih mengganas, lebih-lebih lagi dengan kemunculan varian baharu, Omicron.

Artikel Berkaitan:

Seperti kata Timbalan Pengarah Klinikal dan Pakar Perunding Perubatan Respiratori Hospital Universiti Teknologi Mara, Profesor Madya Dr Ahmad Izuanuddin Ismail, kebimbangan tentang aspek keselamatan anak tidak sepatutnya timbul kerana banyak negara telah melaksanakan program vaksinasi ke atas kanak-kanak, antaranya Amerika Syarikat, Eropah dan jiran kita, Singapura yang setakat ini menunjukkan kejayaan.

Keengganan ibu bapa yang masih tidak membenarkan anak mendapat suntikan vaksin wajar difikirkan sedalam-dalamnya kerana pada Selasa, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) mendedahkan seramai 270,000 kanak-kanak di bawah umur 12 tahun dijangkiti Covid-19 antara Julai dan Disember tahun lalu.

Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, dalam tempoh itu, seramai 63 kanak-kanak di bawah umur 12 tahun telah meninggal dunia akibat Covid-19.

Angka direkodkan itu tidak boleh dipandang enteng. Sudah-sudahlah terpengaruh dengan dakyah disebarkan pihak tertentu khususnya melalui media sosial mengenai PICKids.

Malah, Mufti Kelantan, Datuk Mohamed Shukri Mohamed turut menasihatkan ibu bapa agar tidak terpengaruh dengan media sosial yang mengatakan kemungkinan adanya kesan sampingan jika kanak-kanak divaksin.

Menurut beliau, suntikan vaksin ke atas kanak-kanak yang dimulakan kerajaan telah diputuskan oleh Majlis Jawatankuasa Fatwa Kebangsaan (MJFK) bahawa ia mengikut garis panduan dibenarkan.

Justeru, penulis berharap ibu bapa tidak terlalu bimbang dengan kesan vaksin. Pensyarah Kanan di Unit Imunologi, Jabatan Patologi, Fakulti Perubatan dan Sains Kesihatan, Universiti Putra Malaysia, Dr Masriana Hassan menjelaskan, pemberian vaksin Covid-19 kepada kanak-kanak berusia bawah 12 tahun adalah mengikut dos ditetapkan oleh pihak berkaitan termasuk panel penasihat Pentadbiran Makanan dan Ubat-ubatan Amerika Syarikat (FDA) serta pengeluar vaksin tersebut.

Beliau berkata, adalah normal jika kanak-kanak mengalami simptom tertentu termasuk demam selepas menerima suntikan kerana vaksin bertindak balas terhadap tubuh si penerima.

Tidak lama lagi, anak-anak kita akan mula bercuti sebelum memasuki sesi persekolahan baharu pada Mac ini. Jadi, gunakan masa yang ada itu dengan sebaiknya. Bawalah anak mendapatkan suntikan vaksin Covid-19. Kita usaha selagi mampu, selebihnya berserah kepada Yang Maha Kuasa.

* Siti Shamila Che Zahari ialah Editor Pengisian Sinar Harian