SAU 2022 ditunda ke tarikh baharu

Mohd Safiuddin (tengah) ketika sidang akhbar penangguhan SAU 2022 di Sungai Petani pada Rabu.
Mohd Safiuddin (tengah) ketika sidang akhbar penangguhan SAU 2022 di Sungai Petani pada Rabu.
A
A
A

SUNGAI PETANI - Program Santai Anak Utara (SAU) 2022 yang dijadualkan berlangsung di Bukit Merah Laketown Resort pada Sabtu ini ditunda pada satu tarikh baharu yang akan diumumkan kelak.

Penganjur SAU, Mohd Safiuddin Elias @ Acai berkata, keputusan itu diambil hasil pertemuan dan perbincangan bersama beberapa pihak atas dasar keselamatan dan kesejahteraan sejagat berpandukan jumlah jangkitan Covid-19 terkini selain peningkatan kes di seluruh negara.

Menurutnya, ia termasuk mengambil kira saranan Ketua Polis Perak, Datuk Mior Faridalathrash Wahid yang meminta agar penganjur menilai dan mengkaji semula perhimpunan SAU yang memasuki edisi ke-10 penganjuran membabitkan lebih 8,000 peserta itu.

"Kita faham ada yang melahirkan rasa dukacita kerana difahamkan terdapat peserta telah membuat tempahan hotel dan persiapan, saya di pihak penganjur memohon maaf kerana tidak boleh terus sewenang-wenangnya menganjurkan program ini memandangkan terikat dengan prosedur operasi standard (SOP) sedia ada.

"Kita tidak mahu ambil risiko dan bimbang berlaku penularan atau kluster membabitkan peserta SAU selain mengharapkan peserta bertenang serta tidak lupa untuk terus menyokong program SAU pada masa akan datang pada tarikh yang akan diumumkan kelak," katanya kepada pemberita pada Rabu.

Dalam pada itu, beliau menjelaskan, program yang ditunda, dirancang dihimpunkan bersama melalui program SAU 8.0 dan SAU 9.0 yang mana akan dijalankan serentak di bawah satu program baharu iaitu 10 Tahun Anniversary SAU berikutan penangguhan dua edisi berturut-turut sebelum ini akibat wabak Covid-19.

"Kita sedia maklum bahawa program SAU merupakan program tahunan yang sangat dinantikan seluruh pencinta sukan dua roda di Malaysia bermula sejak penganjuran pada 2013 sehinggalah kini yang telah memasuki edisi ke-10," katanya.

Jelasnya, persiapan tempahan baju, permohonan tapak lokasi, kerjasama dengan penaja dan rakan strategik selain permohonan kelulusan daripada Majlis Keselamatan Negara (MKN), Polis Diraja Malaysia (PDRM) dan pelbagai lagi kemudahan logistik yang lain telah memasuki fasa akhir.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun semua pihak harus akur dengan ketetapan yang telah dibuat bagi menjamin keselamatan dan kesihatan semua pihak yang terlibat.

Sebelum ini, Sinar Harian melaporkan saranan Mior Faridalathrash yang mahukan penganjuran itu dinilai semula selepas mengambil kira situasi semasa Covid-19 yang semakin meningkat.